PM umum baucar beli buku RM100 untuk pelajar tahun 4 keatas….

Baucar buku bernilai RM100 akan diberi kepada murid sekolah rendah bermula Tahun 4, pelajar sekolah menegah dan institusi pendidikan tinggi (IPT).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata baucar itu akan diberi bermula jam 2 petang esok,Jumaat selepas Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menetapkan mekanisme serta panduan penggunaanya.
Beliau umum demikian ketika berucap merasmikan PBAKL 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
“Untuk anak-anak, baik di sekolah kebangsaan, sekolah Arab, sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil dan universiti, kita berikan baucar RM100,”katanya.
Menurut Perdana Menteri, sebahagian jumlah baucar tersebut akan ditetapkan untuk pelajar membeli buku yang diusulkan seperti novel sasterawan negara.
“… kerana mengikut amalan lalu, buku dipilih (anak-anak) adalah buku picisan yang tidak bernilai,” kata Anwar.
Selebihnya, menurutnya, akan diberi kelonggaran kepada golongan sasaran untuk membuat pilihan bacaan mereka sendiri.
Perdana Menteri menjelaskan, baucar tersebut tidak dapat diberi kepada semua pelajar sekolah rendah seperti sebelum ini memandangkan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan.- 30/5/2024