Sunday - 22, December 2024

Ibubapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah abai anak

Share

Ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan telah didakwa atas pertuduhan mengabai dengan kemungkinan menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak autisme itu pada Disember tahun lalu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pagi Khamis.

Namun Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Zaim dan Ismanira minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di Petaling Jaya, pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum pertuduhan dibacakan, jurubahasa mahkamah bertanya sama ada kedua-dua tertuduh sihat atau tidak, dan Zaim Ikhwan menyatakan sihat manakala Ismanira pula memaklumkan dia tidak sihat dan mengalami muntah.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Ku Hayati Ku Haron dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.

Ku Hayati telah mencadangkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh sebanyak RM15,000 setiap sorang dengan syarat tambahan seperti melaporkan diri di balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak menganggu saksi pendakwaan.

Kata Fahmi mereka telah berhujah panjang mengenai isu ini dan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 setiap seorang bersama alasan-alasannya.

Akhirnya mahkamah telah bersetuju untuk memberikan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang serta beberapa syarat yang telah dipersetujui.

Katanya pihak pembelaan juga telah memohon ‘gag order’ atau perintah larangan bersuara supaya tidak ada sebarang komen yang dibuat masyarakat luar berkaitan kes ini yang bersifat subjudis.

Setelah mendengar permohonan, mahkamah hanya membenarkan perintah larangan itu terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes ini.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Julai 2024 bagi tujuan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kes ini.- 13/6/2024

KEMASKINI…ibubapa Zayn Rayyan akan didakwa pagi ini.

Tandatanya terbesar sekali dalam kes Zayn Rayyan sudah terjawab.

Peguam Fahmi Abd Moin beritahu kedua ibubapa kanak kanak autisme yang ditemui mati pada 6 Disember tahun lalu akan didakwa di mahkamah Petaling Jaya pagi ini.

Beliau beritahu demikian kepada para wartawan yang ramai standby di pekarangan mahkamah itu pagi Khamis.

Kata Fahmi ibunya Ismanira Abdul Manaf dan bapanya Zaim Ikhwan Zahari akan didakwa.

Menurut Fahmi pihak polis beritahu beliau mengenai hal ini pada jam 5.30 pagi ini.

Beliau bagaimanapun tidak beri butiran pertuduhan itu.

Sementara itu kenderaan polis yang dipercayai membawa Ismanira dan Zaim tiba di mahkamah jam 10.08 pagi.

Mereka tiba dengan berpakaian biasa dan tidak lagi berpakaian lokap polis.

BERITA LANJUT AKAN MENYUSUL

Khamis…hari penentu samaada ibubapa Zyan Rayyan dibebaskan atau didakwa

Kawasan komplek mahkamah Petaling Jaya menjadi tumpuan dari pagi hingga tengahari Rabu bila Ismanira Abdul Manaf, kepada Zayn Rayyan dibawa polis ke situ untuk mengadap majistret.

Sebelum itu gara gara tersebarnya khabar mengatakan ada perkembangan terbaru berkaitan mereka di situ…ramai wartawan dan jurugambar sudah standby sejak jam 7.30 pagi.

Bagaimanapun mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan mahkamah.

Hadir sama ialah peguam bela bapa Zayn Rayyan , Fahmi Abd Moin dan peguam ibunya, Mahmud Abdul Jumaat.

Mereka datang lewat dan dakwa mereka cuma tahu Ismanira dibawa ke situ menerusi laporan media.

Juga hadir ialah Zahari Mohd Reba yakni datuk dan nenek Zyan Rayyan serta berapa anggota keluarga lain.

Tempoh reman ibubapa Zayn Rayyan yang disambung lagi enam hari dijadual berakhir esok,Khamis.

Menurut mereka Ismanira seorang sahaja dibawa ke situ oleh polis untuk dirakam sesuatu pengakuan.Bapanya Zaim Ikhwan Zahari tidak.

Bercakap kepada para wartawan kemudian… mereka menafikan ibu Zayn Rayyan itu sudah buat pengakuan bersalah di depan majistret.

“Isma (nira) hari ini menekankan bahawa dia tidak ingin membuat sebarang pengakuan bersalah, sebaliknya memberi keterangan berlainan daripada apa yang didakwa di luar sana, kononnya dia sudah membuat pengakuan salah dan terbabit dalam pembunuhan,” kata Mahmud.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih tentang apa sahaja yang melibatkan ibu bapa Zayn Rayyan.

“Terdapat percanggahan yang ketara mengenai keterangan ibu Zayn dengan apa yang diuar-uarkan di luar sana.

“Saya mohon orang ramai beri kerjasama agar kita menghormati proses siasatan ini dan esok kita boleh mendengar atau melihat apakah pertuduhan yang dibuat pihak pendakwaan,” ujarnya

Kedua peguam itu hairan mengapa pihak polis tidak maklum kepada mereka sebagai peguam bahawa Ismanira akan dibawa ke situ.

Difahamkan sebarang pengakuan depan majistret sahaja yang boleh digunapakai di mahkamah.

Pengakuan di depan polis sahaja tak boleh.

Apapun Fahmi beritahu muktamadnya esok,Khamis akan tahu samaada ibubapa Zyan Rayyan itu akan dibebaskan atau sebaliknya.

Ini kerana tempoh reman yang disambung berakhir esok tidak boleh disambung lagi.

“Saya percaya kertas siasatan telah pun sampai ke pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Mereka (AGC) akan meneliti segala dokumen dan mereka akan lihat jika ada sebarang keputusan diketahui esok iaitu sama ada suspek dilepaskan dengan jaminan polis esok atau dituduh. Semuanya bergantung esok,” katanya.

Prosiding di depan majistret hari ini dijalankan secara tertutup.

Bagaimanapun kedua peguam ibubapa Zayn Rayyan dibenarkan hadir sama.

Ismanira tiba di mahkamah jam 10.30 pagi dan kemudian dibawa pergi dari situ oleh polis pada jam 12.50 tengahari.

Peguam Fahmi dilihat masuk lobi mahkamah jam 11.15 pagi disusuli Mahmud Abdul Jumaat, lima minit kemudian.

Anggota keluarga pula dilihat masuk lobi mahkamah jam 10.55 pagi.

Pada Isnin ibu Zayn Rayyan dibawa polis ke lokasi kejadian pembunuhan di Apartment Idaman di Damansara Damai.

Mayat kanak kanak autisme itu ditemui di anak sungai kira-kira 200 meter dari rumah keluarganya pada 6 Disember tahun lalu.- 12/6/2024

KEMASKINI : Pengarah JSJ Bukit Aman mungkin umum kedudukan ibubapa Zyan Rayyan Khamis…

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mungkin akan buat kenyataan mengenai kedudukan ibubapa Zyan Rayyan yang akan tamat tempoh reman pada Khamis ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Selasa bagaimanapun enggan berkongsi perkembangan terkini siasatan kes ibu bapa kanak-kanak autisme itu.

Tahanan reman keatas mereka yang disambung enam hari dan tamat Khamis …tidak boleh disambung lagi.

“Reman akan tamat Khamis, jadi saya tidak dapat berkongsi apa-apa petang ini. (Dibebaskan atau terus tuduh Khamis). Kedua-dua suspek tidak boleh sambung reman lagi.

“Tunggu… mungkin Pengarah JSJ akan beri kenyataan berkaitan perkembangan kes ini,” katanya.

Beliau juga kata tidak tahu sama ada kertas siasatan sudah dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya.

“Sama ada sudah lengkap atau belum lengkap,pihak Bukit Aman akan maklum nanti.

“Saya tidak ada maklumat yang lengkap untuk dikongsi. Tetapi benda itu masih dalam proses,” katanya.- 11/6/2024

Keterangan tidak konsisten antara faktor reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung

Keterangan tidak konsisten antara faktor tempoh reman ibu bapa kanak-kanak autisme yang ditemukan meninggal dunia pada Disember tahun lepas, Zayn Rayyan Abdul Matiin, disambung.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata selain memperincikan siasatan, pihaknya juga akan menggunakan tempoh itu untuk memuktamadkan segala isu berkaitan kes termasuk bukti fizikal dan lokasi kejadian.

“Terdapat perkara yang tidak konsisten yang perlu diselesaikan. Sebab itu kita perlukan enam hari lagi untuk siasatan lanjut dan menyelesaikan sebarang percanggahan sehingga kita berpuas hati dengan hasilnya.

“Tidak konsisten daripada kedua ibu bapanya dan saksi-saksi lain…yang ini, tidak boleh diperincikan sebab dalam siasatan,” katanya kepada media selepas merasmikan Taman Angkat Aman Wanita (AMANITA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor 2024 di Taman Rakan di Kajang,Sabtu.

Beliau berkata pihaknya akan menggunakan tempoh enam hari itu untuk meneruskan siasatan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.

“Mungkin ada lagi tindakan yang melibatkan orang lain ataupun perkara lain yang tidak melibatkan ibu bapa ini,” katanya.

Semalam, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan sambung reman terhadap ibu bapa Zayn Rayyan sehingga Rabu depan (12 Jun) bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Tempoh reman selama tujuh hari terhadap pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu sebelum ini, tamat semalam.

Pasangan suami isteri berkenaan ditahan pada 10.05 pagi 31 Mei lepas di Puncak Alam, Selangor bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Disember lepas, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini, sehari selepas polis menerima laporan kehilangannya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badannya. – 8/6/2024

Read more

khabar terbaru