
Isu kenaikan harga…ini bukan cerita dongeng
Kalau rajin pasang telinga dan selak sana sini di media sosial isu kenaikan harga ekoran penyasaran subsidi diesel yang kini berharga RM3.35 seliter semakin cetuskan kebimbangan.
Ini bukan khabar angin dan ini juga bukan cerita dongeng.
Malah ada sebilangan yang secara terbuka pasang iklan untuk maklum pasal keputusan mereka naikan harga.
Semuanya beri pelbagai ragam alasan yang dikaitkan dengan kos operasi kerana kenaikan harga diesel.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ambil langkah untuk bendung gejala ini.
Pada Jumaat beliau beri amaran kepada pengendali bas sekolah yang menaikkan kadar bayaran berisiko untuk dibatalkan lesen mereka.
“Kamu diberi subsidi (tapi) kamu naikkan (bayaran), kamu jaga-jaga,” tegasnya.
Ditemui wartawan di acara Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Putrajaya,beliau kata lagi,” “Saya tidak tahu orang lain, tapi bagi saya, kalau kamu naikkan juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu. Kalau tidak, anak-anak kita di sekolah terbeban.
“Kalau betul tak dapat (subsidi), mohon fleet card dan kita akan bayar,” ujarnya.
Anwar juga memberitahu beberapa pihak menasihatinya agar menangguhkan pengumuman penyelarasan subsidi diesel dengan mengambil kira pilihanraya kecil Sungai Bakap yang akan berlangsung.
“Ada orang cadangkan ‘Anwar, tangguh lepas (PRK) Sungai Bakap’.
“Saya kata tidak, kita harus hadapi. Buat apa beri mesej yang salah (berkenaan subsidi)?” soalnya.
Katanya lagi, pentadbiran lalu sememangnya ingin melaksanakan dasar ini tetapi tidak bersedia melakukannya.
“Mereka, termasuk saya (PM) kesepuluh, setuju dengan (penyelarasan) subsidi. Tak ada yang tak setuju, tapi mereka tak sedia melakukannya kerana tahu masalah yang akan dihadapi,” katanya.
Pada 11 Jun lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pengendali bas sekolah dan bas ekspres tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang susulan pelaksanaan penyelarasan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia.
Dia berkata ini kerana mereka terus menikmati subsidi menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDB).
Dalam konteks isu ini …Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali mengeluarkan kenyataan pada Jumaat memberitahu sepuluh syarikat yang membuat pengumuman menaikkan harga barang dan perkhidmatan pasca penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lepas telah dipanggil untuk memberi penjelasan kewajaran tindakan itu.
Katanya siasatan awal mendapati permohonan fleet card oleh empat daripada syarikat berkenaan telah diluluskan, namun syarikat berkenaan tetap mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.
“Baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0,” katanya
Katanya, setiap syarikat akan diminta memberikan perincian maklumat termasuk dokumen-dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.
“Kegagalan untuk hadir boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 berkenaan,” katanya.
Armizan berkata 10 syarikat terbabit telah diberikan notis bertulis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, dan dua syarikat telah pun dipanggil semalam manakala selebihnya akan menyusul.
Dia berkata syarikat-syarikat itu terdiri daripada sektor pengangkutan dan sektor bahan binaan masing-masing tiga syarikat, serta sektor makanan dan minuman dan sektor sewaan jentera masing-masing dua syarikat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melancarkan Ops Kesan 2.0 pada 8 Jun lepas.
Armizan berkata KPDN memberikan amaran kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan.
Dia berkata pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat, manakala bagi individu boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.-14/6/2024