
Kata orang ‘hadap sajalah’…
Sudah menjadi kebiasaan pada setiap hari perayaan dendangan kisah kesesakan lalulintas khususnya di lebuhraya akan bergema semula.
Begitulah halnya sempena sambutan Aidiladha, Isnin depan.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) beritahu peningkatan jumlah kenderaan dijangka berlaku secara berperingkat bermula semalam Jumaat sehingga Selasa depan.
“Sepanjang tempoh itu, purata trafik di lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS Berhad dijangka akan mencapai sehingga 2.2 juta kenderaan sehari.
“Lebuh raya Kuala Lumpur – Karak, Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) dan Lebuh raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) masing-masing mencecah sehingga 181,000, 80,000 dan 60,000 kenderaan sehari.”
Itu kata Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau bagi mengurangkan kesesakan, LLM dan syarikat konsesi akan mengaktifkan 20 lokasi laluan ‘smart lane’ di lokasi yang dikenal pasti di Lebuh raya PLUS.
“Pengaktifan dimulakan semalam sehingga 18 Jun ini dan laluan ‘tidal flow’ di Lebuh raya KL- Karak pada 18 Jun ini,” katanya.
LLM turut mengarahkan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik tinggi.
Kata Sazali “syarikat konsesi juga perlu menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang secukupnya bagi mempercepatkan tempoh tindakan untuk menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya.
Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1800887752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau mendapatkan bantuan.
Untuk status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, Aplikasi X @LLMtrafik atau di TikTok @llmtrafik. – 15/6/2024