FOKUS

Tiada yang kacau daun di PRK Sungai Bakap …satu lawan satu

Seperti yang diduga dan diharapkan hanya calon Pakatan Harapan(PH) dan Perikatan Nasional (PN) saja akan berentap di pilihanraya kecil Kawasan dewan undangan negei (DUN) Sungai Bakap di Pulau Pinang pada 6 Julai ini.

Ketiadaan mana mana calon lain yang kacau daun menjadikan persaingan dua gabungan PH-BN VS PN ini lebih panas,menarik dan mendebarkan.

Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Joohari Ariffin,60 dari parti PKR mewakili gabungan PH-BN manakala Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail,56 untuk PN.

Pegawai Pengurus PRK DUN Sungai Bakap, Khairulnizam Hashim mengumumkan pencalonan rasmi itu sebaik sahaja tempoh proses penamaan calon ditutup jam 10 pagi.

Sungai Bakap merupakan kawasan DUN tunggal dalam Kawasan Parlimen Nibong Tebal disandang oleh wakil rakyat dari PN.

PH-BN dikatakan sangat bertekad untuk padamkan kehadiran PN di Kawasan itu.

Ini sekaligus untuk menyekat kemaraan apa yang disebut sebagai ‘gelombang hijau’ PN di Pulau Pinang.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK berkenaan manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022.

Terdahulu Joohari tiba di pusat penamaan calon diiringi ratusan penyokong dan pimpinan Kerajaan Perpaduan terdiri daripada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Abidin pula diiringi beberapa pimpinan tertinggi PN termasuk Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.– 22/6/2024

Pertarungan rebut kerusi DUN Sungai Bakap bermula esok,Sabtu

PERTARUNGAN merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bakal bermula usai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, Nibong Tebal, esok,Sabtu

Setiap bakal calon diberi tempoh sejam bermula 9 hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu dan pihak yang bertanding mempunyai 14 hari tempoh berkempen, bermula selepas pengisytiharan calon bertanding esok sehingga pukul 11.59 malam, 5 Julai.

Sungai Bakap merupakan satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal.

Setakat ini bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, 60, dinamakan sebagai calon kem Kerajaan Perpaduan menerusi Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) sementara bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56, mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK DUN Sungai Bakap dijangka menyaksikan persaingan sengit antara PH-BN dan PN, memandangkan Joohari yang mewakili PKR dalam misi merampas kembali kerusi yang dimenangi parti itu selama tiga penggal dari 2008, sebelum terlepas ke tangan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) ribut petir diramal berlaku di sekitar Nibong Tebal pada sebelah pagi dan petang esok, manakala cuaca diramal baik pada sebelah malam.

— BERNAMA- 21/6/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button