PAS nafi nak sertai kerajaan perpaduan…

Timbalan Presiden PAS Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah bertindak segera mematikan desas desus panas kononnya PAS nak sertai kerajaan perpaduan.
Mengulas isu yang berlegar menjelang pilihanraya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sekarang,beliau kata,” hari ini sedang viral berita kononnya PAS sedang berunding untuk menyertai kerajaan perpaduan… poodah!
“Saya nak buat kenyataan penegasan: PAS tidak akan menyertai kerajaan PH-BN.
“Tidak ada sebarang perundingan, tidak ada sebarang perbincangan, (sama ada) mesyuarat dalaman parti atau bersama dengan PN,” katanya.
Tuan Ibrahim menyatakan demikian ketika menyampaikan berceramah pada program perdana sempena PRK DUN Sungai Bakap di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan, Sabtu malam.
Beliau menegaskan PAS akan berpegang janji yang diberikan kepada rakyat sebelum ini, iaitu tidak akan mendukung Anwar dan DAP sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Tiada sebab kita nak dukung macam Umno.Waktu kempen pada rakyat (uar-uarkan) no DAP no Anwar, wallahi, wabillahi, bersumpah.
“Selepas pilihan raya apa yang berlaku? Dia jilat, langgar balik sumpah dia. Masa kempen PH serang Umno… macam-macam serangan dibuat, rakyat percaya Umno takkan sokong Anwar dan DAP.
“Tiba-tiba selepas pilihan raya dia langgar keputusan parti dia.
“PAS janji dengan rakyat no Anwar no DAP, kita akan pegang janji sehingga pilihan raya akan datang insya-Allah,” tegasnya.
Desas desus kononnya PAS nak sertai kerajaan perpaduan jadi hangat gara gara kenyataan jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada Sabtu bahawa “banyak perbincangan” antara kerajaan dan pembangkang, terutama membabitkan kerajaan negeri.
Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan mahupun menafikan khabar angin yang PAS akan menyertai gabungan kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun Fahmi tidak menjelaskan secara khusus jika kerajaan dan PAS ada membincangkan tentang perkara itu.
“(Soal) perbincangan, memang banyak berbincang.
“Kita lihat perbincangan antara menteri besar PAS, contohnya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, (serta) perbincangan di kalangan ahli parlimen dengan perdana menteri,” katanya.-23/6/2024