Kisah hubungan yang bermasalah antara balu kepada Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud,Raghad Kurdi Taib dengan anggota keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak itu sudah menjadi satu rahsia umum.
Malah semasa hayat Abdul Taib yang meninggal dunia pada 21 Februari lalu pada usia 87 sudah berlegar ‘macam macam cerita’.
Antaranya tindakan undang undang dua anak Abdul Taib iaitu Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib dan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib untuk sekat pemindahan saham Cahya Mata Sarawak Bhd kepada Raghad.
Ini ditambah dengan kisah sebelum kematian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak… ahli keluarganya telah membuat laporan polis mendakwa Raghad telah ‘menculiknya’ dari hospital.
Raghad menafikan hal itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kes itu bukan penculikan.
Ragad yang dilahirkan di Syria mendirikan rumah tangga dengan Abdul Taib di usia 30 tahun pada 18 Disember 2010.
Perkahwinan ini merupakan perkahwinan kali kedua Abdul Taib selepas isteri pertamanya, Laila Taib meninggal dunia pada 2009.
Terbaru Raghad buka cerita menerusi laman Instagram mendakwa beliau dilarang untuk memasuki rumah peribadinya bersama Abdul Taib di Demak Jaya,Kuching pada minggu lalu.

Katanya beliau hendak memasuki rumah itu kerana ingin menziarahi kubur suaminya.
Abdul Taib dikebumikan bersebelahan kubur isteri pertamanya di tanah perkuburan keluarga dalam kawasan rumah berkenaan.
“Kami dihalang di pintu pagar dan pengawal memberitahu saya mereka tidak mempunyai kebenaran untuk membenarkan saya masuk,” katanya dalam catatan Instagram.
Kemudian salah seorang pengawal keselamatan benarkan mereka masuk.
Raghad mendakwa pengawal keselamatan itu kemudiannya telah dipecat.
Beliau juga mendakwa kubur Abdul Taib kelihatan kering seolah-olah tiada sesiapa yang melawat sejak pengebumiannya.
“Ia dalam keadaan teruk. Sungguh memalukan dan menyedihkan,”katanya.
Raghad kata beliau sudah membuat laporan polis mengenai kejadian yang dihadapinya.
Menurutnya sebelum ini beliau tidak mahu berkongsi cerita tetapi kini rasa ia sudah perlu.- 12/7/2024