FOKUS

KEMASKINI : Ujian DNA sahkan mayat Nur Farah…dikebumi di Pekan

Mayat Nur Farah Kartini Abdullah dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Pekan,Pahang selepas ujian DNA di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh mengesahkan itu adalah Allahyarham.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kata DNA positif, mayat adalah Nur Farah dan ia diserahkan kepada keluarga hari ini.

Abang arwah, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, berkata jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung Selangor dan kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Bentan, Pekan.

Jenazah Allahyarhamah Farah, 25, dibawa menaiki van milik UPSI dan bergerak diiringi kenderaan polis pada 2.05 petang.- 18/7/2024

Bukti penting…telefon bimbit Nur Farah ditemui dalam parit

‘Ini dia’…seorang anggota penyelam polis sedang tunjuk salah satu bukti penting dalam kes pembunuhan , Nur Farah Kartini Abdullah yang kini mencuri perhatian ramai.

Bukti yang ditemui itu ialah telefon bimbit milik bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berusia 25 tahun yang hilang sejak Rabu lalu dan mayatnya ditemui petang Selasa.

Telefon bimbit itu ditemukan di kawasan parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor.

Ia terletak sekitar tempat mayat Nur Farah ditemui.

Telefon itu ditemui pasukan Unit Skuba dan Sub-Akuatik Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat carian di kawasan itu pada jam 12.21 tengah hari Rabu.

Kemudiannya suspek seorang anggota polis berusia 26 tahun dilihat dibawa keluar dari sebuah kenderaan polis bagi membuat pengecaman telefon milik Nur Farah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ditemui wartawan kata mereka percaya kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang adalah lokasi utama (primary scene) berlakunya pembunuhan Nur Farah.

Katanya siasatan mendapati suspek dan mangsa mengenali antara satu sama lain namun pihaknya masih menyiasat sejauh mana hubungan mereka.

“Kita percaya ia berlaku di sini (Kampung Sri Kledang) dan dilakukan suspek seorang.

“Daripada siasatan polis, kita tahu mereka kenal satu sama lain namun sejauh mana hubungan itu masih dalam siasatan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan, kita tak boleh lagi keputusan terlalu awal,” katanya.

Sementara itu jenazah Nur Farah yang berasal dari Miri,Sarawak dijangka dikebumikan di Pekan, Pahang selepas dituntut oleh ahli keluarganya di hospital.

Hal ini diberitahu abangnya ,Mohd Fariza Amir Abdullah, 28.

Kakak ipar Nur Farah ialah orang Pekan.- 17/7/2024

Muka, dada reput – Pakar belum dapat sahkan punca kematian Nur Farah

Punca kematian Nur Farah Kartini Abdullah, 25, masih belum dapat disahkan berikutan bahagian dada dan mukanya yang reput ketika dijumpai.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihak Pakar Patalogi Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh memerlukan keputusan analisis makmal terhadap beberapa sampel biologi yang diambil pada mayat untuk mengenal pasti punca kematian.

“Pakar belum dapat sahkan sebab kematiannya buat masa ini kerana mayat yang sudah reput terutama di bahagian dada serta muka. Selepas dapat keputusan analisis makmal, barulah pakar dapat putuskan punca kematian,” katanya ketika dihubungi Rabu.

Hussein turut mengesahkan sebuah kereta jenis Toyota, milik suspek yang juga kenalan mangsa telah dirampas untuk siasatan lanjut.

Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang, pada Isnin.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Bernama- 17/7/2024

Suspek kes bunuh Nur Farah seorang anggota polis…

Kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah menjadi bertambah sensasi bila suspek yang ditahan reman untuk siasatan ialah seorang anggota polis.

Sekalipun laporan sebelum ini mengatakan suspek dipercayai teman lelaki Allahyarham yang merupakan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),namun keluarga dan rakan rakannya menolak dakwaan itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek utama yang ditahan berhubung kes merupakan seorang anggota polis yang bertugas di sebuah balai polis di Perak.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris pula memberitahu suspek berusia 26 tahun itu adalah anggota berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River.

Katanya suspek sudah lima tahun menjadi anggota polis.

Suspek yang dibawa ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu pagi Selasa telah ditahan reman selama tujuh hari.

Sementara itu kalangan rakan Nur Farah menulis di media sosial menafikan Allahyarham ada teman lelaki.

Menurut mereka suspek cuma seseorang yang cuba jalin hubungan dengannya tetapi ditolak.

Abangnya,Mohammad Fariza Abdullah dilaporkan memberitahu adiknya tidak pernah kata dia ada teman lelaki.

Katanya dia tidak kenal suspek dan tidak pernah dengar mengenainya dari Nur Farah.

Menurut Mohamamad mereka sedang menanti kedatangan ibunya dari Miri,Sarawak sebelum memutuskan dimana mayat hendak dikebumikan.

Misteri kehilangan Nur Farah berasal dari Miri sejak Rabu lalu terbongkar apabila mayatnya ditemui di sebuah ladang kelapa sawit, di Kampung Sri Kledang kira-kira pukul 6 petang semalam.

Wanita itu itu dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.

Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju korporat muslimah warna biru jeans, bertudung dan berseluar hitam.

Sementara itu penduduk Kampung Sri Kledang di kawasan Felda Gedangsa di Hulu Selangor yang sering menggunakan laluan di sekitar ladang itu dilaporkan langsung tidak menyangka mayat mangsa cuba ‘dilupuskan’ di situ.

Jarak lokasi ladang ke Kampung Sri Kledang adalah kira-kira empat kilometer (km).

Seorang penduduk, Shaharuddin Ali, 52, memaklumkan sepanjang melalui lokasi tersebut sejak dua hari lalu mendapati tiada bau mayat.- 16/7/2024

KEMASKINI : Kes bunuh Nur Farah…lelaki dipercayai teman lelakinya direman 7 hari

Perhatian pagi Selasa bertumpu ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu,Hulu Selangor bila lelaki dipercayai teman lelaki Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemui mati petang semalam,Isnin dibawa ke situ untuk proses tahanan reman.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza telah luluskan tahanan reman selama tujuh hari keatas lelaki berkenaan yang berusia 26 tahun.

Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek tiba di perkarangan mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna jingga sambil diiringi anggota-anggota polis sekitar jam 8.51 pagi tadi.

Lelaki itu ditahan susulan penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada 6 petang semalam.

Nur Farah, 25 tahun yang juga merupakan bekas graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Allahyarham dilapor hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan Rabu lalu.- 16/7/2024

Mayat Nur Farah yang hilang sejak Rabu lalu ditemui…dipercayai dibunuh

Kejadian tragis menimpa Nur Farah Kartini Abdullah,25 yang dilapor hilang sejak Rabu lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat wanita tersebut ditemukan di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang,kawasan Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Katanya polis sudah menahan seorang suspek penjawat awam berusia 26 tahun dan sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Pemeriksaan awal mengesahkan mayat berkenaan adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim.

“Susulan penemuan mayat berkenaan polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan,”katanya.

Nur Farah berasal dari Miri,Sarawak dan merupakan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),Tanjong Malim.

Difahamkan mayat wanita ditemukan kira-kira 6 petang dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Nur Farah dikatakan berkerja sambilan di sebuah syarikat perkhidmatan kereta sewa di Tanjong Malim.

Dia hanya membantu sesiapa yang mahu menyewa kereta kerana mendapat komisen daripada usaha itu.

Nur Farah hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di sebuah taman perumahan kira-kira jam 8 pagi pada 10 Julai lalu.

Selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di taman itu, difahamkan dia beredar dengan menaiki sebuah kereta berwarna merah tetapi model kereta dan nombor pendaftaran yang dinaiki itu tidak diketahui.

Sebelum kejadian itu, seorang wakil pengurusan syarikat berkenaan ada menghubungi Nur Farah untuk menghantar kereta sewa.Dia membalas pesanan menerusi WhatsApp seperti biasa.

Komunikasi terakhirnya dengan wakil pengurusan syarikat pada jam 8.14 pagi dan selepas itu dia tidak dapat dihubungi lagi.

Usaha menghubungi telefon bimbit yang digunakan Nur Farah tiada jawapan manakala pesanan WhatsApp yang dihantar juga tidak dibalas atau dibaca.

Kali terakhir dilihat dia memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar hitam.- 15/7/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button