
Dr Akmal persoal pendirian PAS terima ADUN Rembia,Melaka sertai parti itu….
Ini sudah tidak betul.
Itu pandangan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh terhadap tindakan PAS pada Selasa menerima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Rembia,Melaka Muhammad Jailani Khamis sertai parti itu.
Ini kerana parti itu baru baru ini membantah keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengekalkan kedudukan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah Dr Akmal persoal para pemipin PAS sehingga sanggup membuat sidang media di Bangunan Parlimen mengumumkan kemasukan ADUN berkenaan.
Muhammad Jailani Khamis digantung keahlian Umno selama enam tahun.
Setiausaha Agung PAS yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini mengesahkan penyertaan Adun Rembia itu ke dalam PAS.
Takiyuddin berkata, tindakan Muhammad Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti memandangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023 selepas Muhamad Jailani menyertai PAS.
Menerusi klip video dimuat naik di akaun Facebooknya,Dr Akmal berkata,” Saya nak tanya kepada PAS, baru seminggu yang sudah kita marah Speaker (Dewan Rakyat) kerana seolah-olah kita (kerajaan) menyokong tindakan orang yang melompat parti ini.
“Jadi mana pendirian orang PAS? Mana pendirian pemimpin PAS? Apabila ada daripada Perikatan Nasional (PN) melompat, kita marah, kita kutuk, kita kutuk kerajaan bahawa jangan menerima katak-katak politik ini.
“Tetapi jika ini yang berlaku (menerima wakil rakyat Umno menyertasi PAS), mana pendirian kamu?” katanya.
Akmal kemudiannya mengingatkan pemimpin politik supaya bekerja untuk rakyat, bukannya pemimpin yang hanya bekerja demi kepentingan diri sendiri.
“Sebab itulah saya marah itu hari antara tindakan Speaker apabila kita membenarkan adanya lompatan-lompatan sebegini rupa. Jadi akhirnya apa nak jadi? Negara ini apa nak jadi?
“Cukup-cukuplah menyusahkan rakyat yang berada di bawah ini. Jadi saya nak tanya kepada orang PAS dan orang PN, apakah pendirian kamu tentang kata-kata politik ini? Adakah kamu setuju atau kamu tak setuju? Jawab,” tegasnya.
Pada 9 Sept tahun lalu Lembaga Disiplin Umno mengesyorkan supaya Jailani digantung keahliannya selama enam tahun.
Ia dibuat selepas lembaga itu memanggil Jailani untuk menghadiri prosiding bagi menjelaskan tindakannya hadir di program kempen PN semasa pilihan negeri di Johor.
Untuk rekod, Jailani asalnya memang ahli Umno sebelum meninggalkan parti berkenaan untuk menyertai PKR dan menjadi salah seorang Adun PH Melaka.
Bagaimanapun dia bersama seorang lagi Adun DAP meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong kerajaan baru pimpinan PN dan BN Melaka pada suku pertama 2020.Dia kemudian sekali lagi menyertai Umno selepas itu.
Penyertaan Jalani tersebut menjadikan PAS kini mempunyai seorang wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, dan tiga kerusi untuk pembangkang berbanding dua sebelum ini.
Dua lagi wakil PN dalam DUN Melaka ialah Mohd Yadzil Yaakub (Bemban) dan Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang).- 16/7/2024
– 16/7/2024