FOKUS

Rupanya…lebih banyak syarikat bukan bumiputra ada sijil halal

Tahukah anda….hanya hanya 3,619 syarikat bumiputera disahkan mempunyai persijilan halal berbanding 5,720 syarikat bukan bumiputera.

Jumlah berkenaan bermakna sekarang ini syarikat bumiputra yang mempunyai sijil halal cuma 39.6 peratus.

Hal ini diberitahu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal kata dalam usaha meningkatkan penglibatan syarikat bumiputera dalam industri halal, Pelan Induk Industri Halal atau HIMP2030 telah menggariskan satu teras strategi yang memfokuskan kepada galakan peningkatan daya saing syarikat bumiputera.

Menurut Zahid melalui platform tersebut, syarikat bumiputera akan diberi peluang untuk menceburi sektor halal yang berpotensi tinggi bagi memperkukuh rangkaian bekalan serta mengadaptasi teknologi digital dan pengkomersialan produk-produk inovasi.

Beliau memberitahu sehingga Julai tahun ini, 9,146 syarikat telah menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Daripada jumlah itu, 8,105 adalah perusahaan kecil dan sederhana,” katanya.

Selain itu, menurutnya, tumpuan syarikat halal tempatan mesti beralih daripada industri makanan dan minuman agar industri halal tempatan dapat diangkat ke peringkat antarabangsa.

Ini termasuk menceburi industri seperti vaksin halal dan ramuan untuk produk halal seperti kosmetik, tambahnya.

Meskipun mengakui memang ada usaha dilakukan ke arah itu, namun, katanya, ia hanya secara kecil-kecilan.

“Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia sedang mengkordinasikan dengan pihak negeri dan agensi-agensi lain supaya tanah terbiar dan tanah-tanah yang kurang digunakan dapat ditanam dan mengeluarkan ramuan-ramuan yang diperlukan bagi keperluan produk-produk halal di peringkat antarabangsa,” katanya.- 18/7/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button