Kanak kanak hilang Sabtu lalu ditemui di hotel murah bersama lelaki 31 tahun

Mengenang beberapa kes kanak kanak hilang termasuk ditemui sudah mati atau hilang terus …kes terbaru ini melibat kanak-kanak berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui cukup melegakan.
Bayangkan bukan dekat…kanak-kanak ini hilang di Iskandar Puteri tidak jauh dari Johor Bharu pada Sabtu lalu dan kemudian ditemui dalam keadaan selamat di Batang Kali, Selangor awal pagi Selasa.
Dia ditemui di sebuah hotel murah bersama seorang lelaki berumur 31 tahun pada kira-kira jam 4 pagi.
Penemuannya itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, M Kumar pada sidang media khas.
“Kejayaan (menyelamatkan mangsa) ini dalam tempoh 48 jam sahaja,” katanya.
Albertine Leo Jia Hui disedari hilang oleh bapanya pada kira-kira jam 8.30 malam, 20 Julai lalu ketika berada di sebuah pusat beli-belah di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri.
Dia dikatakan memakai baju T berwarna putih tertera gambar ‘Mickey Mouse’ di dada dan berseluar pendek, dengan memiliki ketinggian kira-kira 120 sentimeter, berambut panjang warna hitam, berkulit cerah serta tubuh sederhana kurus.
Susulan laporan polis dibuat bapa mangsa pada tengah malam 21 Julai lalu, polis berusaha menjejaki kanak-kanak itu di seluruh negara.
Menurut Ketua Polis Johor kanak kanak itu diselamatkan polis menerusi operasi besar-besaran serta maklumat orang awam.
Katanya ibu bapa kanak-kanak itu sudah dimaklumkan mengenai penemuanya.
“Menerusi maklumat diberikan keluarga mangsa, tiada sebarang panggilan untuk pampasan diterima mereka berhubung kehilangan anak mereka itu,” katanya.
Kumar berkata, secara keseluruhannya, polis sudah memberkas lima individu setakat ini, termasuk suspek lelaki bersama mangsa bagi membantu siasatan.
“Selain tiga suspek yang ditahan semalam, iaitu dua lelaki dan seorang wanita, polis menahan seorang lagi wanita lewat malam tadi, dengan semua mereka sudah direman.
“Manakala suspek lelaki yang ditemui bersama mangsa akan dibawa ke mahkamah (Johor) petang ini untuk proses reman.
“Kelima-lima individu ini tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kanak-kanak terbabit,” katanya.
Menurutnya, siasatan berhubung kes itu dijalankan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.- 23/7/2024