Kemenangan BN yang mengejutkan di Nenggiri..

Melihat pada rentak semasa kempen khususnya beberapa hari menjelang pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Nenggiri,Gua Musang,Kelantan ramai pemerhati politik yang awal awal duga Barisan Nasional akan dapat rampas balik kerusi itu.
Namun adalah di luar ramalan calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani boleh menewaskan calon Perikatan Nasional Mohd Razwadi Ismail dengan majoriti sebesar 3,352 undi.
Beliau mendapat 9,091 undi manakala calon PN yang menggunakan simbol PAS itu, mendapat 5,739 undi.
Apa lagi jentera PN khususnya PAS yang diketuai oleh Tan Sri Annuar Musa telah mengatur pelbagai langkah untuk menawan balik kerusi yang terletak dalam kubu veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang itu.
Dengan kemenangan di Nenggiri ini BN kembali menguasai dua kerusi DUN bersama Galas di kawasan Parlimen Gua Musang.
Kerusi DUN Paloh pula dimenangi calon PN pada pilihanraya negeri lalu.
Tengku Razaleigh pula kalah hanya 163 undi kerusi Parlimen Gua Musang pada Mohd Azizi Abu Naim pada pilihanraya umum lalu.
Ada juga pemerhati yang menilai kejutan keputusan pilihanraya kecil Nenggiri seolah sama seperti yang PN nikmati di Sungai Bakap pada 6 Julai lalu.
Pada pilihanraya kecil itu yang turut tarik perhatian satu negara PN berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 4,267 undi.
Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.
Dalam PRK hari ini, BN memenangi 17 daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM).
BN berhadapan pertarungan sengit di lima PDM iaitu di Kuala Sungai, Bertam Lama, Jerek, Renok dan Limau Kasturi di mana gabungan itu mengetepikan PN dengan kira-kira 50 undi atau kurang.
PN pula menang di Ladang SEDC, Kesedar Limau Kasturi, dan Pasir Tumboh. Di Ladang SEDC, PN memperoleh majoriti 84 undi, 51 undi di Pasir Tumboh, dan 25 undi di Kesedar Limau Kasturi.
Mengikut pecahan kaum komposisi pengundi Melayu adalah 17,636, Cina (36), India (lapan), dan 2,843 bagi kategori kaum lain termasuk Orang Asli.
Pada PRN Kelantan Ogos tahun lalu, BN menang tujuh daripada 20 pusat mengundi antaranya lima kawasan Orang Asli – Tohoi, Pos Simpor, Sungai Puian, Sungai Jenera, Sungai Wias, Sungai Asap, dan Meranto.
PAS pula menang di 13 pusat mengundi Jerek, Bertam Baru,Pasir Tumboh, Ladang SEDC, Jeram Tekoh, Renok, Kuala Sungai, Bertam Lama, Star, Perasu, Serian, Kesedar Limau Kasturi, dan Limau Kasturi.
Pada pilihan raya itu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi Abu Naim yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi.
Pada PRU-14, BN menang di Nenggiri dengan majoriti 461 undi.
Dalam reaksinya, Mohd Azmawi mengucapkan terimakasih kepada pengundi kerana memilih beliau dan menganggap kemenangan itu bukan kemenangan beliau semata-mata sebaliknya kemenangan parti.
”Ini kemenangan UMNO, bukan kemenangan saya seorang. Apa yang saya mahu katakan adalat terimakasih kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi, pimpinan UMNO, jenters parti dan keluarga saya,” katanya. -17/8/2024