17 ADUN PN Pahang sokong titah Tengku Mahkota siasat ucapan Muhyiddin

Semua 17 Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang dari Perikatan Nasional yakni 15 PAS dan 2 Bersatu pada Selasa mendokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang supaya pihak berkuasa jalankan siasatan berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berkempen di pilihanraya kecil Nenggiri.
Mereka dari blok pembangkang DUN Pahang juga menzahirkan ikrar taat setia tidak berbelah bahagi kepada Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada masa sama mereka turut mengikrarkan taat setia kepada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pendirian ini dinyatakan Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi satu kenyataan rasmi.
Muhyiddin membuat ucapan yang kontroversial itu semasa kempen pilihanraya kecil itu pada 15 Ogos.
“ADUN PN Pahang juga menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa berkempen di Nenggiri agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.
“Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah tuanku,” katanya.
DUN Pahang mengandungi 47 kerusi, termasuk lima ADUN lantikan. Daripada 17 ADUN pembangkang, PAS menyandang 15 kerusi, dua lagi diwakili BERSATU.
Baki 20 kerusi lagi, termasuk tiga ADUN lantikan disandang Barisan Nasional (BN) dan 10 yang lain, termasuk dua ADUN lantikan diwakili Pakatan Harapan (PH).
Kenyataan Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS itu menyusul sehari selepas Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin meminta semua ADUN negeri itu menyatakan pendirian berhubung kenyataan Muhyiddin kerana Sultan Pahang adalah sebahagian daripada dewan perundangan negeri.
Selain itu, tegas Mohd Sharkar, isu itu juga membabitkan ‘air muka’ dan maruah rakyat Pahang yang sentiasa menjunjung titah baginda sultan yang menjadi payung negeri.
Pada Isnin, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan atas tindakan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN secara sinis memperlekeh tugas Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Baginda bertitah, kenyataan bekas Perdana Menteri itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri.
Titahnya, tindakan Muhyiddin juga kelihatan tidak matang dan menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan tak dilantik sebagai Perdana Menteri.
Justeru, Tengku Hassanal mahu pihak Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.- 20/8/2024