Muhyiddin nafi ucapan di Nenggiri bermaksud hina institusi raja…

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempertahankan ucapan pada ceramahnya di pilihanraya kecil Nenggiri pada 15 Ogos yang cetus kemurkaan Tengku Mahkota Pahang.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah mengeluarkan satu kenyataan petang Isnin mendakwa ucapannya juga bukan untuk menimbulkan kecenderungan menghasut dan tidak bermaksud untuk menghina institusi raja.
Bekas Perdana Menteri itu juga mendakwa ucapan itu adalah suatu kenyataan fakta dan percaya ia tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.
“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya,” katanya.
Tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, Muhyiddin akan dipanggil untuk memberi keterangan pada Selasa ini berhubung ucapannya yang didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi PRK Nenggiri baru-baru ini.
Setakat ini polis sudah menerima 29 laporan daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu.
Tengku Hassanal menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tanpa sebarang kompromi ke atas bekas Perdana Menteri terbabit kerana dianggap memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Baginda mendakwa ahli parlimen Pagoh itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif agar melihat Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.- 19/8/2024