Yang Dipertuan Agong mahu siasatan menyeluruh dan tindakan segera isu rumah amal GISB

Isu hangat mengenai nasib dan kebajikan kanak kanak di rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) turut mendapat perhatian berat dari Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Pada Selasa menerusi Royal Press Office Seri Paduka bertitah mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan segera diambil.
Baginda memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan serta disiarkan di dalam media massa berkaitan rumah amal berkenaan.
Pada 11 Sept lalu, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan di mana terdapat dakwaan berlaku kes liwat membabitkan penghuni rumah berkenaan.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata polis turut menahan 171 orang dalam operasi yang dijalankan dari jam 6 pagi hingga 11 pagi di rumah amal yang dipercayai dikendalikan GISBH.
Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Ali mengakui terdapat kejadian terpencil kes liwat berlaku dalam organisasi itu pada masa lalu.
Nasiruddin berkata kes-kes berkenaan telah ditangani secara dalaman kerana GISBH sedar ia merupakan kesalahan undang-undang.- 17/9/2024