Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Salleh tidak tunduk pada sindiran Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang anggap beliau bukan pimpinan politik yang setaraf dengannya.
Dalam kenyataan balasnya di media sosial beliau sebaliknya menyifatkan Menteri Pengangkutan itu sebagai kaduk naik junjung.
Akmal dengan lantang menegaskan akan terus mempertahankan agama bangsa agama bangsa dan tanah air.
“Iya kamu memang berjawatan tinggi, tetapi kamu jangan ingat kamu boleh buat sesuka hati kamu,” katanya.
“Kami yang dianggap jawatan rendah inilah yang akan terus lantang bersuara mempertahankan agama bangsa dan tanah air ini tidak kira betapa besar jawatan yang kau ada wahai Anthony Loke Siew Fook.”
Sebelum itu Loke dalam podcast dengan Malaysiakini enggan memberi respons kepada kenyataan-kenyataan pedas Akmal kerana anggap beliau tidak berada pada “level” yang sama.
Menurut Loke, sekiranya beliau terlalu memberi perhatian kepada serangan-serangan politik dari pembangkang, tugas utamanya sebagai menteri dan pemimpin kerajaan turut akan terganggu.
“Saya adalah pemimpin tertinggi parti, Setiausaha Agung. Jika saya perlu memberi respons terhadap setiap komen yang dibuat oleh pemimpin peringkat kedua atau ketiga dari pihak pembangkang atau sekutu, saya tidak akan mempunyai masa untuk melakukan perkara lain kerana perhatian saya sentiasa terganggu.
“Jika saya memberi respons kepadanya, ia sebenarnya menaikkan statusnya. Dia hanyalah seorang Ketua Pemuda, bukan pembuat keputusan, bukan pemimpin utama partinya, tidak berada dalam Kabinet, dan bukan Ahli Parlimen.
“Jadi, jika parti kami perlu memberi respons, ada orang lain yang boleh menguruskannya. Sayap pemuda kami atau anggota jawatankuasa pusat yang lain boleh memberi respons,” katanya.- 1/11/2024