
Vivy Yusof, suami didakwa pecah amanah dana Khazanah, PNB RM8 juta
Pengasas FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta, enam tahun lepas.
Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd telah melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Rosli membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasangan suami isteri itu perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.
“Kedua-dua tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dihalang mengganggu serta mempengaruhi saksi dalam kes ini sehingga kes selesai,” kata hakim itu yang turut menetapkan 22 Jan depan untuk sebutan kes.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata kesalahan itu tidak boleh dijamin namun kedua-dua tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM.
“Oleh itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan antara RM100,000 hingga RM200,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan jumlah tersebut sangat munasabah dengan mengambil kira keseriusan kes ini.
“Kami berhak untuk meminta syarat tambahan dalam kes ini iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di ibu pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah kerana kesalahan ini amat serius dan ada flight risk (melarikan diri). Mereka boleh memohon untuk mendapatkan pasport sementara pada bila-bila masa dengan alasan munasabah.
“Kedua-dua tertuduh juga dihalang mengganggu serta mempengaruhi saksi dalam kes ini kerana kebanyakan saksi terlibat dalam FashionValet,” kata Wan Shaharuddin yang juga Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM.
- Bernama – 5/12/2024
Kes FashionValet: Vivy dan suami akan didakwa esok
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan ramai esok,Khamis bilamana pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar akan didakwa berhubung kerugian pelaburan Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki memberitahu pasangan itu telah ditahan tengahari semalam dan kemudian diberikan jaminan untuk hadir ke mahkamah pada Khamis.
Pada 28 November lalu, kertas siasatan membabitkan kerugian pelaburan itu sudah dilengkapkan SPRM.
Susulan itu, kertas siasatan berkenaan sudah diserahkan kepada Bahagian Perundangan SPRM untuk kajian dan pertimbangan.
Terdahulu, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.
Transaksi mencurigakan itu dikesan sejak tahun 2018 hingga tahun lalu.
SPRM dilaporkan turut merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Isu Sashion Valet jadi panas gara gara jawapan bertulis Kementerian Kewangan di Parlimen baru baru ini mendedahkan Khazanah dan PNB menjual pegangan RM47 juta hanya untuk RM3.1 juta.
Ia mencetuskan kemarahan ramai kerana ia melibatkan dana awam.
Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik.
“Jumlah kerugian daripada penjualan saham FashionValet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan,” menurut kementerian itu.
Berikutan itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memaklumkan ia akan memulakan prosiding berhubung kerugian pelaburan dana awam berjumlah RM43.9 juta dalam platform e-dagang FashionValet pada Disember ini.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudik berkata, prosiding yang dijangka bermula pada minggu kedua Disember itu akan memanggil Khazanah dan PNB untuk menjelaskan mengenai pelaburan berkenaan. – 4/12/2024