
Pemuda UMNO tanya apakah Titah Adendum tahanan rumah Najib masih khabar angin…?
Pemuda UMNO Malaysia ingin tahu apakah Titah Adendum mengenai tahanan rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih khabar angin.
Ketuanya Datuk Dr Akmal Saleh menerusi media sosial pada Khamis bertanya demikian ekoran laporan Datuk Mohamad Nizar memfailkan afidavit yang mengesahkan bahawa Sultan Pahang memberitahunya tentang kewujudan Titah Adendum.
Nizar,anak kepada bekas Perdana Menteri itu yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Pahang failkan afidavit itu sebelum perbicaraan Mahkamah Rayuan petang Khamis berhubung rayuan bapanya untuk diberikan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi pelaksanaan titah tambahan itu.
Malaysiakini.com melaporkan sumber yang rapat mengesahkan kepadanya Nizar memfailkan afidavit itu sebagai sebahagian daripada permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan.
Difahamkan terdapat perintah mahkamah yang menyekat orang ramai daripada menjalankan carian fail bagi mengakses dokumen tersebut.
Najib memohon Mahkamah Rayuan supaya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman.
Semakan kehakiman itu bertujuan untuk memaksa pihak berkuasa menguatkuasakan apa yang didakwa sebagai Titah Adendum yang memperuntukkan tahanan di rumah.
Pada 3 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.
Hakim Amarjeet Singh memutuskan, antara lain, bahawa semua afidavit yang mendakwa kewujudan Titah Adendum tersebut hanyalah khabar angin.
Akmal yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka dalam hantarannya di media sosial kata, “bagi pihak Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya meneliti penuh kenyataan yang telah dibuat oleh Dato Nizar Najib, anakanda kepada DS Najib Razak berkaitan pendedahan bahawasanya titah adendum itu benar wujud, malah disahkan oleh KDYMM Sultan Pahang kepada beliau.
Juga pada masa yang sama, tular di media sosial dokumen berkaitan titah adendum yang juga menjadi satu persoalan besar bahawasanya ia bukanlah satu “hearsay” atau khabar angin seperti yang pernah dinyatakan oleh individu di dalam Kabinet.
Maka, tindakan afidavit yang dibuat oleh YAB Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO) dan DS Wan Rosdy (Menteri Besar Pahang merangkap Naib Presiden I UMNO) adalah satu tindakan yang betul bukanlah yang dibuat-buat.
Jadi saya mahu bertanya kepada Kerajaan, dengan dua pendedahan ini? Adakah ia masih khabar angin?”
Sementara itu Bernama melaporkan Najib memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya bagi menyokong dakwaannya tentang kewujudan Titah adendum diraja yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun kepada tahanan di rumah.
Peguam Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa permohonan tersebut difailkan pada 3 Dis lepas.
Beliau berkata mahkamah perlu mendengar permohonan membawa bukti tambahan terlebih dahulu, dengan menambah bahawa prosiding rayuan yang dijadualkan hari ini tidak dapat diteruskan.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili kerajaan Malaysia dan tujuh responden lain, memaklumkan mahkamah bahawa beliau memerlukan lebih masa untuk mengesahkan dokumen yang dikemukakan melalui afidavit yang dilampirkan bersama permohonan Najib. Beliau berkata dokumen tersebut tidak ditandatangani.
Panel hakim, yang terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli, dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, kemudian menangguhkan pendengaran rayuan Najib.
Hakim Azizah turut mengarahkan pengurusan kes diadakan bagi menetapkan tarikh baharu untuk pendengaran permohonan dan rayuan Najib.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, yang turut mewakili kerajaan, kemudian mengesahkan kepada Bernama bahawa 6 Jan 2025 ditetapkan sebagai tarikh pendengaran baharu bagi permohonan dan rayuan Najib.
Rayuan Najib berkaitan cabarannya terhadap Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun kepada tahanan di rumah.
Sebelum ini, pada 3 Julai, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman. Najib kini merayu keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti.
Dalam permohonannya, Najib memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden untuk memberi jawapan dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Jan tahun ini.
Responden lain yang dinamakan termasuk Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (UndangUndang dan Reformasi Institusi), serta Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal UndangUndang di JPM.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon agar, sekiranya dekri tambahan itu wujud, responden diarahkan untuk melaksanakannya dan memindahkan beliau segera dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib. Namun, hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 Sept 2022.
Di luar mahkamah, Muhammad Shafee memberitahu pemberita bahawa terdapat satu afidavit yang disahkan oleh anak Najib, Datuk Mohd Nizar, yang menyatakan bahawa beliau menerima dokumen daripada Istana Pahang.
Namun, beliau memaklumkan kandungan afidavit tersebut tidak dapat didedahkan. – 5/12/2024