Apa cerita langkah nak pisah peranan Peguam Negara dan pendakwa raya?

Kalau jadi nanti ia dikira satu langkah besar yang berjaya dilaksana oleh kerajaan perpaduan dalam bidang perundangan negara.
Ini bukan harapan baru tetapi sudah sekian lama banyak pihak yang hendak melihat langkah memisahkan peranan pendakwa raya daripada peguam negara.
Mendengar cakap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran di Dewan Rakyat pada Isnin nampak macam sudah ada sinar terang kearah itu.
Beliau memberitahu kerajaan akan membentangkan rang undang-undang untuk memisahkan peranan pendakwa raya daripada peguam negara selewat-lewatnya menjelang tahun depan.
Kulasegaran beritahu demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Teresa Kok (PH-Seputeh), yang bertanya mengapa kerajaan mengambil masa yang lama untuk memisahkan peranan pendakwa raya daripada peguam negara.
Kerajaan telah lama menerima desakan daripada pelbagai pihak termasuk NGO, peguam dan ahli parlimen untuk melaksanakan pemisahan ini bagi memastikan kebebasan institusi pendakwaan, mengelakkan konflik kepentingan dan meningkatkan ketelusan dalam sistem keadilan.
Reformasi ini dijangka memerlukan pindaan kepada Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, yang memberi kuasa kepada peguam negara untuk bertindak sebagai pendakwa raya.
Setakat ini, kerajaan dilihat komited ke arah pemisahan fungsi tersebut, dengan langkah-langkah awal seperti kajian ilmiah dan perbincangan bersama pihak berkepentingan telah dimulakan.
.
Kulasegaran menjelaskan proses melaksanakan perubahan tersebut memerlukan masa kerana terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti oleh kerajaan, namun menegaskan komitmen kerajaan untuk melaksanakan reformasi itu.
“Sebenarnya nak pinda Perkara 145 tidak ada masalah. Kita ada majoriti lebih dua pertiga di parlimen.
“Tetapi kajian empirikal itu perlu dibuat. YB dulu menteri, tahu perkara kalau nak bawa perubahan lebih mudah cakap berbanding melaksanakannya,” katanya.
Timbalan menteri itu berkata proses reformasi pemisahan kuasa peguam negara ini memerlukan rundingan yang meluas bagi memastikan segala aspek diambil kira.
“Dalam melaksanakan reformasi, kita perlu mendapatkan pandangan daripada semua pihak yang terlibat. Setiap pihak ada keprihatinan masing-masing, dan ini memerlukan masa untuk kita pertimbangkan semua aspek,” jawab Kulasegaran.
Menurutnya selain diskusi dengan stakeholders dan NGO perlu juga ada jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas (parlimen).
“Maka ia memerlukan masa tetapi akhirnya kerajaan berpandangan bahawa sekurang-kurangnya tahun hadapan mesti perkara ini akan diselesaikan,” katanya lagi.- 9/12/2024