Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Isnin berkenan menikmati santapan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di restoran asam pedas Botak yang terkenal di Johor Bharu.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Pasir Pelangi.
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, turut berangkat ke sesi menghadap dan santapan tengah hari Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Sementara itu Anwar menerusi facebooknya memberitahu beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyembah maklum beberapa urusan antaranya terkait isu negara dan usaha Kerajaan menangani permasalahan banjir di beberapa negeri, selain menyentuh soal pembangunan ekonomi negara dan negeri.
“Usai sesi tersebut, saya mengiringi Baginda Tuanku untuk santapan tengah hari di restoran Asam Pedas Botak di Johor Bahru, sebelum berangkat pulang ke ibu negara,”katanya.- 9/12/2024