Siren amaran akan dipasang hadapi banjir kilat di Putrajaya…

Ahad lepas kecoh di media sosial hampir dua puluh kenderaan tenggelam banjir di Presint 11 Putrajaya. Hujan lebat selama dua jam menyebabkan air naik dengan cepat dan banyak kenderan yang diparkir terperangkap.
Berikutan itu, Perbadanan Putrajaya (PPJ) akan melaksanakan sistem amaran banjir kilat sebagai langkah proaktif untuk melindungi penduduk di Putrajaya.
Sistem ini akan menggunakan siren dan teknologi Internet of Things (IoT) bagi memberi amaran segera kepada penduduk untuk mengalihkan kenderaan sekiranya banjir kilat berlaku.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, berkata sensor akan dipasang di petak-petak penyelenggaraan saliran di seluruh Putrajaya untuk mengesan tahap ketinggian air secara real-time.
“Inisiatif ini penting untuk mengurangkan risiko kerugian harta benda akibat banjir kilat, seperti yang berlaku baru-baru ini di mana 20 kenderaan ditenggelami air,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Sebagai tindakan jangka pendek, PPJ juga akan menyediakan parkir interim untuk menampung sehingga 200 kenderaan dalam tempoh dua minggu.
Sementara itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menambah baik sistem saliran di kawasan perumahan terjejas, selain meneroka konsep pembangunan moden seperti sponge city dan kolam takungan bawah tanah.
Langkah ini diambil selepas kejadian banjir kilat yang pertama kali berlaku di kawasan itu akibat hujan lebat tiga kali ganda daripada biasa, menyebabkan air melimpah dari Sungai Anak Gajah.-10/12/2024