FOKUS

Pindaan Akta 588 untuk benteras pornografi dan pelacuran di media sosial

Betapa senangnya pengguna media sosial untuk mengekses kandungan pornografi dan aktiviti pelacuran di Malaysia sudah lama menjadi pendebatan di kalangan pembuat dasar.

Syukurlah pada Isnin kerajaan melalui Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil membentangkan Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam usaha membanteras kandungan negatif seperti pelacuran dan pornografi di platform media sosial.

Langkah ini dilihat penting untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, terutama dalam menangani ancaman siber seperti eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, dan aktiviti tidak bermoral yang semakin berleluasa.

“Jumlah kandungan pelacuran yang diturunkan di media sosial mencapai 2,165 kes, sementara kandungan pornografi melibatkan 1,947 kes, termasuk 71.2% berkaitan penderaan seksual kanak-kanak,” kata Fahmi ketika membentangkan Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat.

Beliau turut menegaskan, pindaan ini memperkukuh kerangka undang-undang sedia ada bagi membanteras penghijrahan jenayah konvensional ke alam maya, sejajar dengan matlamat membentuk Malaysia MADANI sebagai sebuah negara bangsa progresif.

Fahmi berkata tahap kemudaratan dalam talian yang semakin tinggi itu diterjemahkan melalui jumlah tindakan penurunan kandungan berunsurkan scam di platform media sosial bagi tempoh 2022 hingga 1 Dis lepas melibatkan 62,833 kandungan.

“Dalam tempoh sama, jumlah penurunan kandungan berunsur pelacuran di media sosial adalah 2,165 kandungan, judi dalam talian (185,858) manakala penurunan kandungan berunsur lucah (1,947) dan daripada jumlah tersebut, 71.2 peratus atau 1,387 adalah kandungan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak yang dilaporkan,” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata pindaan akta tersebut dapat membantu dan memantapkan proses penyiasatan terutamanya dalam pengumpulan bukti iaitu dari sudut pemeliharaan, penzahiran, penyimpanan dan pengekalan data komunikasi.-10/12/22024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button