Dalam era serba maju dan dunia tanpa sempadan sekarang akses internet kini sudah menjadi satu keperluan asas bagi semua orang.Tanpanya ibarat kata dunia jadi gelap gelita seperti tiada kemudahan elektrik.
Bagi kawasan bandar dan lain lain di seluruh negara yang lengkap dengan segala macam infrastruktur kemudahan ini mudah dijangkau.
Soalnya sekarang bagaimana untuk penuhi keperluan ini bagi rakyat di pedalaman dan di kawasan dimana bentuk muka bumi sukar diakses untuk kerja pemasangan gentian optik dan lain lain yang berkaitan dengannya.
Jawabnya kerajaan tidak pernah melupakan mereka.
Sekalipun usaha untuk tembus ke kawasan berkenaan bukan mudah dan memerlukan belanja besar namun Kementerian Komunikasi telah laksana pelbagai langkah untuk menyediakan kemudahan akses internet.
Menterinya,Fahmi Fadzil pada Sabtu turun padang ke Kampung Seri Bunian, Pontian untuk tinjau perkembangan projek proof of concept (POC) Tarana yakni syarikat penyedia perkhidmatan akses internet tanpa wayar di situ.
Ini susulan langkah kementerian sedang mengkaji penggunaan teknologi internet tanpa wayar Tarana bagi menyelesaikan masalah ketiadaan internet di kawasan bentuk muka bumi yang sukar diakses untuk pemasangan gentian optik.
Bercakap kepada para wartawan,Fahmi berkata penggunaan teknologi secara gelombang mikro itu, satu penyelesaian bersifat hibrid yang diusahakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selain pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Beliau berkata di Johor kajian penggunaan teknologi Tarana dibuat di Kampung Seri Bunian, Pontian dan di Sedenak Tech Park, Kulai sejak Oktober lepas.
“Kelajuan internet yang diperoleh agak baik. Kita harap melalui beberapa pertimbangan termasuk penggunaan free space optical, microwave serta WiFi yang lebih banyak, akan dapat membantu komuniti yang sebelum ini tiada kesalinghubungan Internet.
“Ujian telah dibuat sejak dua, tiga bulan lepas, jadi memandangkan kita turut melalui musim Monsun Timur Laut (MTL) keadaan cuaca ini memberi kita data yang agak baik.
“Sebelum bermula MTL sehingga hari ini kita ada data ketika cuaca hujan dan kering. Data ini membantu kerana ia melibatkan dua menara di lokasi berbeza. Kita akan teliti secara keseluruhan,” katanya.
Fahmi berkata pihaknya berharap penggunaan teknologi baharu itu, dapat menyelesaikan masalah serta melengkapkan 1.8 peratus kawasan berpenduduk yang masih belum memiliki capaian Internet disebabkan faktor bentuk muka bumi yang bergunung ganang, bukit bukau dan penempatan terpencil di pulau.
“Apa yang kita lihat berdasarkan kajian teknologi ini, membolehkan kesalinghubungan atau connectivity dalam lingkungan kira-kira tiga kilometer. Teknologi seperti ini membantu mengagihkan Internet ke kawasan terpencil secara mudah, tanpa perlu menanam banyak kabel sekali gus sesuai terutamanya dari segi kos.
Berhubung JENDELA Fasa 1, Fahmi berkata pencapaian pelaksanaan projek tersebut tidak memuaskan dan pihaknya perlu meneliti bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan dengan sempurna demi manfaat golongan sasar.
“Dalam Parlimen saya ada sebut hanya 1,385 daripada 1,661 menara telah siap dan daripada jumlah menara yang siap, hanya 808 menara telah beroperasi dalam tempoh dua tahun lebih projek JENDELA dilaksana. Ini bukan pencapaian baik dan tidak memuaskan.
“Sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini teknologi banyak berubah, membolehkan penyelesaian sementara yang memanfaatkan Internet satelit.
Ini banyak membantu terutamanya di lokasi yang mana proses melengkapkan kabel gentian optik memakan masa terlalu lama,” katanya.
Sementara itu menteri itu juga melawat tapak menara telekomunikasi JENDELA Kampung Sungai Lenek, dekat Segamat.
Beliau memberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) diminta meneliti semula reka bentuk tapak menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), bagi mengatasi masalah banjir dan vandalisme.
Katanya ini berikutan terdapat sesetengah menara yang menjadi mangsa vandalisme dan juga terlibat dengan bencana banjir.
“Sekiranya kita dapati perlu ditambah baik, maka saya akan minta tapak-tapak ini terutama yang kerap mengalami vandalisme mesti ada sebab (sering menjadi mangsa vandalisme)..sebabnya antara lain reka bentuk.
“Sekiranya ada kesilapan pemilihan bahan dan rekaan tapak tersebut, saya meminta MCMC segera mengarahkan syarikat-syarikat berkenaan yang merupakan pelesen yang memegang lesen MCMC, mereka perlu bantu untuk menambah baik,” katanya.
Beliau berkata antara penambahbaikan yang boleh dilaksanakan ialah pemasangan pagar ‘anti-climb’ (anti-panjat) dan kawad duri di tempat strategik, bagi mengelakkan pencerobohan tapak menara.
Fahmi berkata pembinaan platform bagi meletakkan kotak elektrik di tapak menara bagi kawasan yang dilanda banjir juga perlu diteliti MCMC.
Beliau berkata perbuatan vandalisme di kawasan tapak menara boleh diklasifikasikan sebagai satu jenayah, malahan pihak yang mengalami kerugian boleh mengambil langkah sivil terhadap mereka yang terlibat melakukan kerosakan.- 14/12/2024