SAPP keluar dari Perikatan Nasional

Perikatan Nasional (PN) kini hanya mempunyai empat parti politik bernaung bawah gabungan berkenaan iaitu PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Ini ekoran pengumuman Parti Maju Sabah (SAPP) pada Sabtu keluar dari PN.
Presidennya, Datuk Seri Yong Teck Lee memberitahu keputusan itu dibuat pada 23 November lalu dalam mesyuarat tertinggi SAPP dan ia telah dimaklumkan kepada ibu pejabat PN bulan lepas.
Beliau menjelaskan tindakan terbabit diambil susulan keputusan PN yang ingin bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) sedangkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hanya akan ditandingi oleh parti-parti tempatan.
“Pendirian SAPP ini selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan autonomi Sabah.
“Kami tidak boleh berkompromi dengan komitmen kami untuk memastikan PRN harus kekal di bawah bidang kuasa parti-parti tempatan dan bebas daripada campur tangan parti-parti berpusat di Semenanjung,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
SAPP menyertai PN pada Ogos 2020 selepas beberapa bulan PN ditubuhkan.
Berikutan keputusan itu, SAPP kini hanya menganggotai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sementara itu ikut laporan media kalangan pimpinan gabungan PN lain tidak memandang tindakan SAPP keluar PN satu isu besar.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tidak adil sekiranya hanya parti tempatan dicadangkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Sebelum ini, beliau berkata, PN meletakkan calon penduduk tempatan dalam PRN Sabah yang membawa kepada kerjasama kukuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Untuk mencadangkan supaya pilihan raya negeri hanya untuk parti tempatan – saya tidak fikir itu adil kepada rakyat Sabah.- 14/12/2024