13 tahun… itu usia yang ditetapkan sendiri oleh pengendali media sosial di Malaysia untuk layak mendaftar dan memiliki akaun media sosial secara sah.
Manakala kerajaan akan mempertimbangkan langkah susulan jika pengendali platform media sosial di negara ini tidak serius menghalang kanak-kanak bawah 13 tahun daripada memiliki dan menggunakan akaun media sosial.
Ia berikutan keperluan pengendali itu mendaftar lesen perkhidmatan masing-masing mulai 1 Januari ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ketika ini kerajaan tidak berhasrat mengikuti langkah Australia sebagai negara pertama dilaporkan menguat kuasa undang-undang larangan kanak-kanak dan remaja bawah usia 16 tahun menggunakan media sosial.
Menurutnya, kerajaan akan menilai keseriusan dan keupayaan pengendali terbabit dalam menguatkuasakan larangan mengenai had usia berdasarkan ketetapan mereka.
“Bermula 1 Januari ini, semua platform media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna perlu berdaftar dan berlesen dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kita akan mulakan dengan had umur yang setiap platform ini tentukan sendiri, iaitu mereka yang bawah 13 tahun tidak boleh buka akaun (media sosial).
“Kita hendak tengok bagaimana mereka kuat kuasa larangan had umur itu berdasarkan apa yang mereka tetapkan.
“Kalau gagal dan tidak memberangsangkan maklum balas mereka, tindakan mereka, maka kita akan pertimbang langkah-langkah tambahan,” katanya.
Fahmi berkata, pihaknya mengakui terdapat cadangan keras daripada Ahli Parlimen di Malaysia termasuk tindakan penutupan akaun media sosial apabila melihat kepada masalah berkaitan jenayah seksual kanak-kanak.
Menurutnya, ketika ini semua platform menunjukkan kesediaan untuk akur dengan pelesenan itu, namun masih ada beberapa perkara dan persoalan serta berkaitan teknikal yang membelenggu mereka.
“Kita sudah dalam fasa akhir dan berdasarkan kemas kini pada semalam, ada beberapa platform yang meminta penjelasan, selain sedang menyediakan dokumen pembentangan perundangan,” katanya.-19/12/2024