Sunday - 22, December 2024

Kerajaan sambung pencarian MH370…

Share

Kabinet bersetuju menerima cadangan Ocean Infinity yang berpangkalan di United Kingdom untuk melaksanakan misi baharu pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang 10 tahun lalu.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pencarian dasar laut bangkai pesawat itu akan dilakukan di kawasan baharu berkeluasan 15,000 kilometer persegi di Lautan Hindi.

Menurutnya, kerajaan hanya akan membayar kepada pihak terbabit sekiranya bangkai pesawat itu ditemui.

“Kawasan baharu pencarian dicadangkan Ocean Infinity berdasarkan maklumat terkini dan data analisis dibuat pakar serta penyelidik.

“Kementerian Pengangkutan sedang berunding berkait terma dan syarat perjanjian dengan Ocean Infinity,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Loke berkata keputusan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk meneruskan operasi pencarian bagi memberi jawapan kepada waris kru dan penumpang MH370.

Kehilangan MH370 kekal menjadi misteri terbesar dalam penerbangan. Pesawat membawa 239 anak kapal dan penumpang itu hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.-20/12/2024

Read more

khabar terbaru