Sunday - 22, December 2024

Ditanya lagi pasal pembebasan Rosmah…ini jawapan Anwar

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengunakan istilah dicemari “racun dan permusuhan ” ketika menyifatkan beberapa pendakwaan berprofil tinggi semasa 2018 dilakukan secara “tergesa-gesa”.

Ini berbangkit semasa beliau diminta ulas kritikan terhadap pembebasan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri di mahkamah dua hari lalu.

“Anda juga perlu tahu pada masa itu, pendakwaan dilakukan dengan tergesa-gesa, (dengan) racun, permusuhan dan dendam politik oleh pihak yang berkuasa ketika itu, sehingga banyak pendakwaan ada kelemahan,” katanya.

Beliau kata demikian dalam sidang akhbar khas di Subang Jaya pada Sabtu.

Selepas pilihanraya umum Mei 2018 Perdana Menteri ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar sekali lagi menegaskan beliau tidak campur tangan dalam keputusan itu.

“Selama dua tahun saya memegang jawatan Perdana Menteri, saya tidak pernah campur tangan atau mengarahkan mana-mana hakim dalam sebarang isu.

Anwar seterusnya mengulangi komitmen kerajaan terhadap agenda reformasinya.

Beliau juga faham bahawa usaha melaksanakan perubahan yang ketara memerlukan masa dan usaha gigih.

“Kita jelas, kerajaan ini komited kepada reformasi, tetapi ia mengambil masa,” katanya.

“Mengapa letakkan kesalahan kepada PM (Perdana Menteri). Anda mahu saya campur tangan dalam proses kehakiman? Anda sering bertanya tentang pandangan peribadi saya, suka atau tidak suka..

“Saya memang ada pandangan peribadi, tapi kita bercakap soal kebebasan badan kehakiman.. apabila hakim berikan keputusan berbeza dengan pandangan anda, anda salahkan orang lain dan tidak bersetuju dengan keputusan itu,” katanya.

Khamis lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk membebaskan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN atas alasan pertuduhan itu tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam pertuduhan yang dikenakan.

Perdana Menteri berkata Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap pembebasan Rosmah dan beliau meminta semua pihak supaya menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

“Terpulang kepada Mahkamah Rayuan, biar Mahkamah Rayuan yang buat keputusan,” katanya.

Pada sidang akhbar berkenaan Anwar turut menjelaskan beliau tidak bersetuju sekiranya pelukis grafik Fahmi Reza ditahan atau dituduh gara-gara berkarya.

Katanya, bukan setiap kritikan terhadap kerajaan perlu disiasat, terutamanya apabila ia tidak berkaitan dengan isu 3R (Royalti, Agama, Bangsa).

“Fahmi Reza, saya tidak setuju didakwa dan ditangkap…

“Kerana secara terus-terang, saya fikir untuk maksud hal ini, saya nak gesa dan nasihat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis, dalam kes kritikan kepada perdana menteri, biar sajalah.

“Tetapi kalau ia melanggar (batas) macam sekarang ini melibatkan Raja-Raja, itu di luar (bidang kuasa) saya.

“Majlis Raja-Raja kata tak setuju Raja-Raja disepak terajang kerana Raja-Raja tak boleh jawab dan bukan dalam permainan politik,” kata.

Fahmi disiasat oleh Bukit Aman berhubung grafik mengenai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru dilantik, Musa Aman dan disiasat di bawah Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar, dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Bagaimanapun, Anwar memberi peringatan kadang-kadang hasutan mencuit perasaan agama yang kuat.

“Jadi saya tidak setuju nak ambil semua kes yang mengkritik kerajaan dan menyindir, tak payah.

“Tetapi kalau ia melibatkan kaum dan agama, itu susah jika kita mula ‘memaafkan’… ini boleh pecah belah kita,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri memberitahu draf kertas kabinet mengenai pengasingan kuasa antara Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP) dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Beliau berkata, cadangan pembahagian fungsi antara Peguam Negara dan PP telah diterima oleh kabinet dan seorang menteri telah ditugaskan bersama dengan pasukan petugas untuk menelitinya.

Perdana Menteri turut mengakui bahawa isu berkenaan cukup rumit, dan mengambil masa untuk disiapkan kerana ia memerlukan banyak pindaan, termasuk Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha ini pasti akan berjaya dilaksanakan, diharapkan pada pertengahan tahun depan.

“Saya belum lihat draf itu.. tetapi kertas kerja yang dibentangkan setakat ini ialah keputusan dasar sama ada kita bersetuju dengan pengasingan itu yang telah diluluskan oleh Kabinet,” katanya.

Anwar berkata, bahawa pemisahan AG dan PP bukan sekadar pembahagian tugas, tetapi turut melibatkan soal menjaga integriti pejabat.

“Bagi saya, isunya bukan (sahaja) pembahagian tugas biasa… ia adalah integriti pejabat,” katanya.

Khamis lepas gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Anwar mengumumkan garis masa yang jelas untuk pengasingan fungsi pendakwaan awam daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pada Mac 2023, Anwar mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk memisahkan pejabat pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pengasingan peranan AG dan PP bertujuan meningkatkan kebebasan dan integriti sistem perundangan, memastikan keputusan pendakwaan dibuat tanpa pengaruh yang tidak wajar dan Peguam Negara boleh bertindak sebagai penasihat undang-undang yang tidak berat sebelah kepada kerajaan. – 21/12/2024

Read more

khabar terbaru