Macam dalam filem aksi… itu komen netizen berikutan viralnya video aksi kejar mengejar antara kereta penjenayah Proton Satria putih dengan polis.
Kecekapan polis Petaling Jaya berjaya menahan dua lelaki tempatan selepas insiden kejar-mengejar tersebut yang dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Kilometer 16 Lebuhraya Damansara-Puchong.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam bin Ja’afar, kejadian berlaku sekitar jam 11.32 pagi apabila kereta tersebut memandu secara melawan arus dalam usaha mengelak sekatan.
“Dalam proses penahanan, kereta suspek melanggar sebuah kereta peronda polis dan sebuah motosikal yang ditunggang oleh orang awam,”ujarnya dalam satu kenyataan media.
Kedua-dua suspek akhirnya berjaya ditahan di Jalan PJU 1A/1, Ara Damansara.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek pertama, berusia 30 tahun dan bertindak sebagai pemandu, mempunyai 11 rekod jenayah serta 5 rekod berkaitan narkotik.
Suspek kedua, berusia 29 tahun, yang merupakan penumpang kenderaan, turut memiliki satu rekod jenayah lampau.
Polis turut merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 12.87 gram dan sebuah senjata dipercayai jenis electric shock wave yang ditemukan di dalam kenderaan tersebut.
Kedua-dua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan kes sedang disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 307, 186, dan 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan & Senjata Merbahaya, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
ACP Shahrulnizam turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau individu mencurigakan untuk menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.-27/12/2024