Walaupun sebelumnya terdapat polimek mengenainya dan sekitar 64 pegawai dan anggota polis dikerah berkawal…namun proses hukuman sebatan pertama di khalayak ramai di Terengganu pada awal petang Jumaat berlangsung aman dan lancar.
Hukuman enam sebatan keatas Mohd Affendi Awang, 42 dilaksana di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Hukuman keatas tukang rumah itu yang mengaku bersalah berkhalwat kali ketiga dengan wanita berbeza disaksikan 90 orang termasuk wakil Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Kerajaan Negeri, Jabatan Penjara, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Ahli Jawatankuasa Masjid AlMuktafi Billah Shah, serta pengamal media.
Dia dibawa dari Penjara Marang dan tiba di masjid itu pada jam 2.29 selepas solat Jumaat.
Dia kemudiannya dibawa ke dalam bilik persediaan selama 20 minit bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa keluar untuk menjalani hukuman itu pada jam 2.50 petang dan berakhir jam 2.52 petang.
Ketika hukuman dilaksana suasana di dalam dewan sepi tanpa suara.
Prosedur sebatan hanya mengambil masa selama dua minit sebelum pesalah keluar diiringi dua pegawai penjara untuk masuk semula ke bilik pemeriksaan
Kemudian dia dibawa keluar dari dewan dan dibawa semula ke Penjara Marang.
Bapa kepada lima orang anak itu yang berasal dari Kerteh itu menjadi individu pertama di Terengganu menjalani hukuman sebatan di khalayak umum atas kesalahan syariah.
Hukuman diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail pada 20 November lalu selepas Mohd Affendi mengaku bersalah berkhalwat kali ketiga dengan seorang wanita berusia 52 tahun mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.
Selain sebatan, tertuduh turut dikenakan denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.
Kesalahan khalwat pertama tertuduh adalah pada 11 Julai tahun lalu, dia dijatuhi hukuman denda RM2,700 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman.
Bagaimanapun, pada 25 Januari tahun ini, tertuduh mengulangi kesalahan sama dan dikenakan hukuman empat sebatan serta denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 19 Februari.
Asalnya dia dijadualkan menerima hukuman sebatan itu pada 6 Dis lalu, namun dua hari sebelum itu, kerajaan negeri memaklumkan pelaksanaan hukuman digantung sementara susulan terdapat permohonan semakan keputusan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata,pelaksanaan hukuman sebatan berjalan lancar tanpa sebarang provokasi dan gangguan.
Katanya seramai 64 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan proses berjalan lancar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.-27/12/2024