TAHUKAH ANDA

Isu kenaikan tarif elektrik…ini jaminan PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat telah meredakan kebimbangan orangramai mengenai isu kenaikan kenaikan tarif elektrik yang akan berkuatkuasa mulai Julai 2025.

Ini ekoran pemberitahuan oleh TNB kepada Bursa Malaysia bahawa tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan meningkat sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh) pada waktu itu.

Ditemui wartawan di Langkawi beliau beri jaminan kerajaan sedang mengambil langkah memastikan sebarang kenaikan tarif elektrik tidak membebankan rakyat.

Anwar berkata, sebarang kenaikan tarif mesti tertumpu kepada golongan atasan atau industri yang mencatatkan keuntungan luar biasa, dan bukan kepada majoriti rakyat.

“Mengenai pengumuman TNB tentang kenaikan tarif elektrik, tadi saya sudah menghubungi Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri yang bertanggungjawab, untuk meminta TNB memberi penjelasan.

“Kami tidak akan membenarkan kenaikan yang boleh membebankan orang ramai.

“Kenaikan ini, seperti yang berlaku sebelum ini, hanya akan membabitkan golongan maha kaya dan industri yang untung besar,” katanya.

TNB semalam memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan meningkat sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), berkuat kuasa Julai 2025 di bawah Tempoh Peraturan 4 (RP4) dari Januari 2025 hingga Disember 2027.

Namun, bagi enam bulan pertama RP4 sehingga Jun 2025, tiada perubahan dalam kadar tarif elektrik dan struktur tarif.

Sementara itu Ketua Pegawai Kewangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Nazmi Othman pada sesi taklimat media di Kuala Limpur Jumaat kata tiada sebarang kenaikan tarif elektrik kepada 85 peratus pengguna domestik sehingga 30 Jun tahun hadapan.

Beliau berkata, keputusan ini sejajar dengan apa yang telah diputuskan kerajaan pada 20 Disember lepas, untuk mengekalkan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025.

“Dalam tempoh itu, pengguna domestik tidak akan terjejas kerana sebarang kenaikan harga atau impak akan ditampung kerajaan menerusi kaedah yang akan ditentukan antaranya termasuklah melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE),” katanya.

Nazmi menjelaskan sebelum tempoh itu berakhir, kerajaan akan melakukan penilaian dan kajian semula struktur tarif elektrik, dengan mengambil kira harga arang batu, gas dan bahan api semasa sebelum sebarang keputusan lanjut diumumkan.

“Keputusan seterusnya dijangka diumum sebelum Julai, kerana kerajaan akan memantau situasi termasuk harga pasaran semasa arang batu, gas dan bahan api pada tarikh paling hampir dengan berakhirnya jadual tarif elektrik semasa iaitu 30 Jun 2025,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. menerusi satu kenyataan memberitahu tiada sebarang keputusan mengenai kenaikan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dibuat sehingga kini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) tidak dirujuk atau dimaklumkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkaitan pengumuman mengenai kenaikan tarif elektrik di Semenanjung tempoh hari.

“Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), sebarang kenaikan yang boleh membebankan rakyat adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, PETRA bersama-sama Suruhanjaya Tenaga (ST) masih lagi dalam proses memuktamadkan jadual tarif elektrik baharu yang dijangka untuk dilaksanakan bermula pada Julai 2025.

Fadillah berkata, semakan terhadap tarif asas elektrik dilaksana disebabkan terdapat keperluan untuk meneliti semula harga bahan api, terutamanya arang batu dan gas.

Fadillah berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Dalam hal ini, sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif elektrik di Semenanjung akan dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya.

Bagi pengguna kategori domestik serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Fadillah berkata, kerajaan terus komited untuk melindungi mereka supaya tarif yang dikenakan adalah kompetitif dan mampu dibayar.

Selain itu pemberian subsidi elektrik secara bersasar yang dilaksanakan oleh kerajaan akan diteruskan bagi memastikan 85 peratus pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (KwJ) dan ke bawah tidak akan terkesan.

Beliau berkata, pengguna kategori komersial dan industri yang menggunakan elektrik yang banyak serta mencatatkan keuntungan yang tinggi perlu membayar kos elektrik mereka pada kadar sebenar.

Namun Fadillah berkata, kerajaan menggalakkan pengguna kategori itu memasang panel solar dan bateri penyimpanan tenaga di premis masing-masing serta mempraktikkan inisiatif kecekapan tenaga seperti melaksanakan audit tenaga secara kolaborasi dengan Syarikat Perkhidmatan Tenaga (ESCO) dan melaksanakan program inisiatif kecekapan tenaga bagi mengenal pasti potensi penjimatan tenaga elektrik di premis mereka.

Mengenai harga bahan api, beliau berkata, dalam tempoh kawal selia ketiga (RP3 – Regulatory Period 3) bermula tahun 2022 hingga 2024, unjuran harga arang batu ditetapkan pada kadar AS$79 (RM353.30) per tan metrik dan harga gas ditetapkan melalui harga dua peringkat (two tier pricing) menggunakan formula Reference Market Price (RMP).

Peringkat pertama, bagi isi padu gas sehingga 800 juta kaki padu sehari (mmscfd), harga lantai ditetapkan pada kadar RM24/MMBtu dan harga siling jualan gas ditetapkan pada kadar RM30/MMBtu, manakala harga purata bagi penggunaan gas melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM33/MMBtu.

Bagaimanapun pasca Covid-19 dan krisis tenaga global, harga bahan api meningkat secara mendadak dengan harga arang batu bagi tempoh kawal selia keempat (RP4) bagi tahun 2025 hingga 2027 diunjurkan pada kadar AS$97 (RM433.80) per tan metrik dan penggunaan gas bulanan sehingga 800 juta mmscfd akan dikenakan harga lantai RM24/MMBtu dan harga siling RM35/MMBtu.

“Harga purata bagi penggunaan gas melebihi 800 mmscfd diunjurkan pada kadar RM46/MMBtu,” katanya.

TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia semalam memaklumkan jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah RP4, dicadang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, masih di peringkat cadangan. – 27/12/2024

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button