Sunday - 5, January 2025

Tik Tok sudah berlesen, FB dalam proses, X tak mohon…

Share

Ini perkembangan hari ketiga selepas kerajaan mewajibkan semua platform media sosial yang mempunyai lebih lapan juta pengguna berdaftar mempunyai lesen di Malaysia.

Langkah yang diluluskan oleh Parlimen Malaysia tersebut bertujuan mengukuhkan keselamatan kegiatan platform dalam talian, meningkatkan perlindungan pengguna terutama bagi kanak-kanak dan kumpulan yang terdedah, serta meningkatkan pengawasan kawal selia oleh pihak berwajib terhadap kandungan berbahaya dan memudaratkan.

Untuk rekod, pada 9 Disember Parlimen meluluskan pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang mewajibkan penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Malaysia mempunyai lesen berkuat kuasa 1 Januari 2025.

Pelaksanaan undang-undang baru menyaksikan dua daripada lapan platform aktif, iaitu TikTok dan We Chat, sudah berjaya dalam permohonan lesen berkenaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 2 Khamis memaklumkan empat lagi platform utama media sosial iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp – kesemuanya di bawah Meta – dan Telegram sedang dalam proses permohonan bagi membolehkan mereka beroperasi di Malaysia.

Ketika ini, platform YouTube yang diselia oleh Google pula belum menghantar permohonan, manakala platform X pula dikatakan tidak menepati syarat untuk memohon berikutan jumlah penggunanya tidak mencapai nilai ambang lapan juta orang sebagaimana disyaratkan.

Namun MCMC sedang mengatasi beberapa perkara berbangkit bersama Google dan X ke arah mematuhi kerangka pelesenan yang sudah berkuat kuasa.

Penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (CASP) itu mewajibkan platform media sosial mendaftar lesen dengan SKMM berkuat kuasa 1 Januari.

Dengan pelesenan itu, MCMC boleh menyekat capaian kepada platform penyedia perkhidmatan media sosial berlesen, membatalkan lesen CASP atau memulakan pendakwaan terhadap penyedia platform dalam kes pelanggaran yang lebih berat.

Menurut MCMC, mana-mana penyedia perkhidmatan media sosial yang beroperasi tanpa lesen bermula 1 Januari 2025, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika disabitkan kesalahan, penyedia perkhidmatan berkenaan boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau lima tahun penjara, atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan.

Pelesenan media sosial itu bagaimanapun hanya khusus untuk pengendali platform dan bukan kepada lebih 28 juta pengguna media sosial di Malaysia yang merangkumi lebih 86 peratus daripada penduduk negara itu.

Pelbagai pihak menyambut baik langkah mewajibkan pelesenan bagi perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang disifatkan mampu meningkatkan kebertanggungjawapan platform. -3/1/2025 OLEH HELME HANAFI

Read more

khabar terbaru