Perdana Menteri Jepun Ishiba Shigeru memulakan lawatan dua hari ke Malaysia pada Jumaat ketika Tokyo berhasrat untuk mengukuhkan hubungan pendidikan, ekonomi dan keselamatan serantau.
Jepun melihat ASEAN sebagai rakan kongsi penting dalam advokasi Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka serta dalam memastikan perintah berasaskan peraturan di rantau ini.
Malaysia yang merupakan negara Kepengerusian ASEAN tahun ini.
Pagi Jumaat, Ishiba, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.
Beliau kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan kerjasama pendidikan, ekonomi dan keselamatan serantau.
Anwar dalam sidang media selepas pertemuan tersebut memberitahu Malaysia dan Jepun bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam pendidikan bagi mempertingkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik yang lebih menyeluruh.
Jelas Anwar, beliau dan rakan sejawatannya telah membincangkan pelbagai inisiatif dalam sektor pendidikan termasuk penubuhan kampus cawangan University Tsukuba dari Jepun di Malaysia.
Kerjasama lain termasuk perkongsian antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Waseda University, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Japan International Institute of Technology (JIIT).
“Keio University, merupakan sebuah universiti penting, ia adalah universiti milik beliau (Shigeru Ishiba) yang mana saya pernah mempunyai hubungan baik dengannya.
“Jadi, saya kini memohon kepadanya untuk memastikan Keio University, turut serta dalam beberapa program kita, termasuk dalam dialog peradaban kerana terdapat minat untuk berinteraksi antara Islam dan Taoisme,” katanya.
Inisiatif pendidikan ini merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar untuk mengukuhkan hubungan Malaysia-Jepun melalui kerjasama yang lebih erat dalam perdagangan, pelaburan, dan tenaga bersih.
Mewakili delegasi Malaysia, Anwar menyampaikan rasa terima kasih, menekankan kepentingan mesyuarat tersebut dengan menyebutkan keistimewaan Malaysia sebagai negara pertama yang dilawati oleh Ishiba sejak beliau dilantik.
“Mesyuarat dua hala ini adalah antara yang paling komprehensif yang pernah saya alami, menekankan betapa seriusnya Perdana Menteri Ishiba melihat Malaysia sebagai rakan utama. Ini adalah bukti komitmen bersama kita untuk bekerjasama dalam pelbagai isu penting,” kata Anwar.
Perbincangan tersebut merangkumi pelbagai bidang, dengan perdagangan dan pelaburan sebagai fokus utama. Tenaga dan kelestarian juga menjadi perhatian utama apabila Anwar mengakui kerjasama yang lama antara PETRONAS dan Jepun dalam perdagangan gas asli cecair (LNG).
Perdana Menteri juga memuji peranan Jepun dalam memajukan inisiatif penangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS) serta penghantaran kargo LNG neutral karbon kepada Shikoku Electric dan Hiroshima Gas, yang sejajar dengan dasar tenaga bersih Malaysia.
“Saya turut menyebut tentang pembentukan grid tenaga ASEAN yang melibatkan Laos, Thailand, Malaysia, dan Singapura, serta inisiatif Sarawak untuk membangunkan kabel tenaga bawah laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan juga ke Singapura.
“Sudah tentu usaha ini akan memerlukan penyertaan daripada Jepun selain negara-negara yang terlibat,” katanya.
Anwar menjelaskan inisiatif terbaharu itu membabitkan syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dengan kerjasama Petronas.
“Premier Sarawak, yang turut hadir di sini, telah memberikan jaminan bahawa dengan sokongan Perdana Menteri, Shigeru Ishiba, kerjasama dalam teknologi baharu dan hidrogen ini akan menjadi satu kejayaan.
“Insya-Allah, kami berharap dapat mempercepatkan usaha ini secepat mungkin untuk memenuhi tarikh akhir, mungkin pada bulan Mei, apabila kita bertemu sama ada di Tokyo atau di Kuala Lumpur,” katanya.
Jepun ialah rakan ekonomi utama bagi Malaysia, dengan sejumlah 2,821 projek pembuatan melibatkan penyertaan Jepun dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2024.
Projek berkenaan melibatkan pelaburan bernilai RM105.2 bilion (US$30.4 bilion), yang menyediakan peluang pekerjaan untuk kira-kira 344,996 orang.
Jepun juga adalah pelabur asing keempat terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia dan rakan perdagangan keempat terbesar dengan jumlah perdagangan sebanyak RM156.75 billion (US$34.41 billion) pada 2023.-10/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK