Mewajibkan penyedia platform media sosial di Malaysia memohon lesen berkuatkuasa 1 Januari 2025 merupakan langkah proaktif kerajaan untuk memastikan pengendali platform memahami dan bertanggungjawab terhadap keselamatan serta privasi pengguna.
Selain melindungi data pengguna media sosial di negara ini langkah kerajaan itu juga bagi memastikan ekosistem digital yang selamat untuk kanak-kanak, seperti jaminan umur bagi menghalang pengguna di bawah 13 tahun daripada mengakses platform yang diuruskan oleh penyedia perkhidmatan.
Pelesenan bertujuan untuk melindungi pengguna daripada ancaman dalam talian, termasuk penipuan, pencerobohan data, dan penyebaran maklumat palsu. Ini membolehkan pengguna menikmati pengalaman yang lebih selamat dalam menggunakan media sosial.
Menurut laporan oleh CyberSecurity Malaysia, tahun 2023 menyaksikan lebih daripada 12,000 kes jenayah siber yang dilaporkan, menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya. Jenis kes ini termasuk serangan DDoS, pencerobohan sistem, dan penyebaran malware.
Manakala Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa 99.3% isi rumah di Malaysia mempunyai akses kepada telefon bimbit pada tahun 2023. Aktiviti internet paling popular termasuk menyertai rangkaian sosial (99.4%) dan memuat turun pelbagai kandungan (93.9%).
Kata mudahnya adalah perkembangan teknologi dan penggunaan Internet yang meluas telah membuka pintu ancaman baharu seperti jenayah siber dan pornografi dalam talian.
Data daripada PDRM pula menunjukkan dalam lima tahun terakhir ini rakyat Malaysia kerugian lebih RM5 bilion.
Perkara ini didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, menurutnya pada 2019, sebanyak RM747.2 juta kerugian direkodkan dan tahun lalu ia hampir mencecah RM1.2 bilion.
“Kami menjangkakan (kerugian akibat jenayah dalam talian) akan terus meningkat sehingga akhir tahun ini yang mana setakat Ogos sahaja kerugian dicatatkan adalah RM940 juta,” katanya dalam forum ‘Malaysian Online Ecosystem’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan maklumat tidak tepat dan palsu yang membanjiri platform dalam talian ketika ini semakin tidak terkawal dengan munculnya pelbagai jenis teknologi kecerdasan buatan (AI) baharu secara pantas.
“Sekarang ini, AI boleh hasilkan apa sahaja daripada teks hingga video. Satu daripadanya adalah ‘deep fake’ (penyamaran), malah kita boleh lihat bukan sahaja selebriti tetapi perdana menteri pun turut menjadi mangsa manipulasi teknologi ini.
“Bukan hanya ‘deep fake’, tetapi ada banyak kategori AI lain yang sedang digunakan antaranya pemalsuan identiti, berita, produk dan ulasan.
“Ada yang tanya daripada mana mereka dapat maklumat kita. Data kita berada di mana-mana, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu yang menyekat pergerakan kita.
“Jadi, aktiviti seperti memesan makanan dalam talian turut menjadi punca penyalahgunaan data apabila ia jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Kerajaan mulai 1 Januari mewajibkan penyedia platform media sosial yang mempunyai 8 juta pengguna berdaftar memohon lesen. Apabila mempunyai lesen pengendali platform media sosial akan bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan dan standard yang ditetapkan oleh kerajaan berkaitan dengan keselamatan dan privasi pengguna.
Dengan mengenakan keperluan pelesenan, kerajaan dapat bekerjasama dengan pengendali platform untuk mengesan dan membanteras jenayah siber yang mungkin berlaku dalam rangkaian mereka. Ini termasuk pencegahan penyebaran kandungan pornografi dan aktiviti penipuan yang lain.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kepintaran Buatan, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Aznul Qalid Md Sabri berkata pelaksanaan lesen itu bukan perkara baharu, malah telah dilaksanakan di negara lain.
“Sebagai contoh, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menguatkuasakan lesen tetapi lebih memfokuskan kepada pencipta kandungan dalam pelesenan tersebut. Berbeza dengan Malaysia, yang disifatkan beliau sebagai unik kerana memerlukan pengendali platform untuk memohon lesen,”katanya dipetik dari Bernama.
Selain daripada peguatkuasaan undang-undang, pihak berkuasa juga boleh menggunakan prosedur pelesenan untuk mewajibkan pengendali platform melaksanakan kempen pendidikan dan kesedaran bagi pengguna tentang keselamatan dalam talian dan cara melindungi diri daripada ancaman digital.
Pelesenan media sosial juga menggalakkan pengendali untuk mengamalkan etika dan tanggungjawab dalam pengendalian maklumat dan interaksi dengan pengguna. Ini membantu membina kepercayaan di kalangan masyarakat terhadap platform yang mereka gunakan.
Melalui langkah proaktif ini, Malaysia dapat mengurangkan risiko jenayah siber dan melindungi masyarakat daripada ancaman digital. Setiap individu harus mengambil tindakan proaktif untuk melindungi maklumat peribadi mereka dan sentiasa berwaspada terhadap ancaman yang sedang berkembang.-10/1/2025 OLEH HELME HANAFI