Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka meletakkan Johor sebagai saingan Lembah Klang dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata berdasarkan penilaian awal, zon ekonomi khas yang baru dimeterai itu bakal menyumbang tambahan AS$28 juta (RM125.9 juta/ $38.2 juta) kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) setahun.
“JS-SEZ membuktikan Malaysia-Singapura wajar bekerjasama bagi membuka peluang kepada pelabur global memanfaat peluang, sejajar usaha kita untuk menjadikan Asean sebagai ekonomi keempat terbesar dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
“Zon ekonomi khas ini menjadi sesuatu yang istimewa membabitkan dua negara yang sangat jarang berlaku kerana kebanyakannya diwujudkan di bawah satu kawasan.
“Walaupun ia sesuatu yang kompleks, namun kita perlu mengharmonikan dasar ekonomi antara kedua-dua negara.
“Jika ia berkesan, ia bakal menjadi pemacu baru khususnya Johor dalam tempoh 10 tahun akan datang, di mana negeri-negeri lain di Malaysia boleh memanfaatkan pertumbuhan daripada JS-SEZ,” katanya.
Rafizi berkata demikian ketika menjadi ahli panel Fireside Chat bertajuk From Made in Malaysia to Made by Malaysia (Daripada dibuat di Malaysia kepada Buatan Malaysia) bersempena Forum Ekonomi Malaysia (FEM) di Kuala Lumpur.
Beliau berkata menerusi Belanjawan 2025, kerajaan telah memperuntukkan RM5 bilion untuk dana infrastruktur di JS-SEZ, yang mana mekanisme dana berkenaan bergantung kepada kerajaan Persekutuan dan negeri.
Katanya keperluan penambahan dana akan ditentukan kemudian berdasarkan minat yang ditonjolkan ke atas JS-SEZ.
“Pembangunan JS-SEZ adalah bersifat usaha sama swasta dengan suntikan pelaburan adalah berperingkat. Kerajaan akan bekerjasama rapat dengan pelabur mengenai keperluan pelaburan sebelum infrastruktur dibangunkan mengikut keperluan,” ujarnya.
Berhubung pusat data, beliau menjelaskan Malaysia dijangka menjadi hab di rantau ini dengan Johor turut menjadi lokasi unit pertumbuhan perniagaan baru ini.
JS-SEZ bermula secara rasmi dengan sasaran menarik 100 projek dalam tempoh 10 tahun, merangkumi kawasan pembangunan Iskandar Malaysia, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dan Desaru, dengan keluasan tanah 357,128 hektar.
Wilayah pembangunan Iskandar turut meliputi Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai dan Sedenak.
Sementara itu, dalam sesi sama, Rafizi mendedahkan bahawa Malaysia bercadang menghasilkan cip dan unit pemprosesan grafik (GPU) secara tempatan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.-10/1/2025