
Moga insiden belasah OKU di Chukai,Terengganu jadi pengajaran…
Siapa saja yang melihat video tular kejadian lelaki dibelasah beramai ramai di tapak Pasar Tani Padang Astaka Chukai,Kemaman, Terengganu Jumaat lalu tentu merasa ia sangat tidak wajar sekali…apa lagi lelaki itu seorang Orang Kurang Upaya (OKU) mental.
Puncanya cuma motosikalnya merempuh sebuah gerai di situ.
Perasaan sedih dan sebak dikongsi menerusi luahan rasa isteri kepada lelaki berkenaan,Faridah Abdul Karim.
“Bila melihat rakaman video itu, hati saya hancur dan sangat sedih,” katanya.
Faridah, 44, berkata perbuatan mereka yang mengheret, menyepak, memukul dan mencurahkan mi goreng di atas kepala suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, itu sangat melampau dan tidak berperikemanusian.
“Mereka tidak berhati perut, bayangkan suami sudah beberapa kali memohon maaf, mereka tetap memukulnya.
“Bila suami minta diberikan air untuk membasuh matanya yang pedih selepas dicurahkan mi goreng, individu terbabit bertindak menyepak kepala suami,” kata ibu kepada lima anak itu.
Beliau berkata, suaminya itu adalah manusia dan kenapa individu berkenaan sanggup melakukan perbuatan kejam dengan memukul seperti haiwan.
“Kalau benar dia bersalah dan sengaja melanggar sebuah gerai makanan di situ, mereka sepatutnya selesaikan dengan cara baik.

“Sepatutnya mereka datang bertemu saya dan berbincang, saya sanggup bayar ganti rugi yang dialami mereka,” katanya ketika menerima kunjungan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Fadini Rahim, di kediamannya di Kampung Mak Chili pada Ahad.
Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang kini berada di Sabah menghantar Mohd Fadini Rahim melawat keluarga mangsa.
Dalam perbualan menerusi video dengan isteri mangsa, Akmal memberi jaminan bahawa Pemuda UMNO akan menyediakan khidmat guaman percuma kepada mangsa bagi memastikan keadilan dapat dilaksanakan.
Jelasnya, bagi tujuan itu Pemuda UMNO akan melihat sudut yang sesuai bagi memastikan pelaku terlibat dikenakan hukuman berat.
“Saya akan pastikan keadilan diberikan kepada abang (mangsa OKU), jangan risau.
“Kita nak pesalah dikenakan hukuman berat lagi. Jangan risau, kami akan bersama dengan abang,’’ katanya.
Akmal tidak berpuas hati kerana hanya tiga orang yang ditahan ekoran insiden itu.
(Sehingga berita ini ditulis jumlah yang ditahan polis telah meningkat kepada empat orang)
Ini kerana, kata Akmal pelaku dalam kes berkenaan lebih ramai dan melebihi tiga orang.
“Saya tengok bila tiga orang yang ditangkap itu, saya sendiri pun tidak berpuas hati.
“Ramai je, lebih dari tiga orang.
“Tengok akta yang dibawa itu pun saya rasa terlalu ringan. Jadi kita tak nak gunakan akta sedia ada, kita nak kalau boleh pesalah itu dituduh di bawah akta yang lebih berat,’’ katanya.
Ketua Pemuda Bersatu, Kemaman Aziman Hadi Nazri dalam satu kenyataan berkata, perlakuan terhadap mangsa adalah tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan nilai kemanusiaan, ajaran agama dan undang-undang.
“Mangsa yang dikategorikan sebagai pesakit cacat mental sepatutnya dilindungi daripada diserang.
“Kami menggesa pihak berkuasa menyiasat kejadian ini secara telus dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Penjenayah mesti menerima hukuman setimpal dengan tindakan mereka supaya kejadian ini boleh dijadikan pengajaran kepada orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri,” kata Aziman yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.
Presiden Persatuan OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi berharap pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap mereka yang terlibat kes pukul seorang lelaki OKU.
Katanya warga OKU sudah cukup melalui pelbagai kesukaran dalam kehidupan harian daripada pelbagai sudut dan insiden kekerasan itu amat mendukacitakan.
“Rakaman yang tular berkenaan peristiwa itu begitu menyayat hati untuk ditonton kerana individu OKU tersebut berseorangan sambil diheret dan disepak terajang oleh sekumpulan warga yang belum dikenal pasti setakat ini atas kesalahan yang kami percaya tidak sengaja dilakukan.
“Lebih menyedihkan, pengunjung pasar di tempat kejadian hanya sekadar melihat tanpa menghulurkan apa-apa bantuan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ras Adiba berkata alasan tidak mengetahui bahawa mangsa adalah seorang OKU ketidakupayaan mental itu bukan lesen untuk membenarkan tindakan kekerasan fizikal sebagai hukuman terhadap sesiapa.
Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Ja’afar meminta orang ramai supaya berhenti menularkan video insiden berkenaan.
Katanya penularan video berkenaan di pelbagai platform laman sosial menimbulkan pertikaian dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menularkan video serta memberi komen negatif yang boleh menimbulkan kegusaran terhadap masyarakat.
“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Muhamad berkata, setakat ini polis menahan empat lelaki berusia antara 18 hingga 60 tahun yang terbabit dalam insiden itu.
Selain itu, tiga orang saksi awam juga dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, tambah beliau.
“Pihak polis berjanji akan menyiasat secara telus dan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam insiden berkenaan,” katanya.- 19/1/2025