Mangsa kelima yang dikenal pasti mangsa terakhir dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit di Miri ditemui pada 6.06 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mangsa disahkan Fatimah Dawi, 71.
Dengan penemuan mayat wanita warga emas itu, lima mangsa disahkan terkorban dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 pagi hari ini.
Menurut Alexson, mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan runtuhan pada 6.26 petang dan dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.
Katanya, secara keseluruhan, seramai 12 mangsa yang tinggal di dua rumah terbabit dengan tanah runtuh itu.
“Daripada jumlah itu, lima mangsa disahkan meninggal dunia, dua orang cedera dan bakinya selamat.
“Mangsa yang cedera termasuk seorang dijumpai di tempat kejadian, manakala yang lain menyelamatkan diri ketika runtuhan berlaku,” katanya.
Menurutnya lagi, mayat mangsa pertama ditemukan pada jam 6 pagi diikuti mayat kedua pada jam 10.40 pagi, mayat ketiga pada jam 11.30 padi manakala mayat keempat pada jam 11.40 pagi.
Bagaimanapun, identiti empat lagi mangsa yang terkorban itu belum didedahkan.-29/1/2025

Tanah runtuh Miri: Mayat remaja lelaki ditemui… empat lagi masih dicari
Mayat mangsa tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri awal pagi tadi ditemukan kira-kira 6.17 pagi melibatkan remaja lelaki berusia 17 tahun.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam laporan terkini memaklumkan mayat itu dijumpai dalam runtuhan di satu daripada dua rumah yang ditimpa tanah runtuh dalam kejadian pada 2.58 pagi itu.
Usaha kini tertumpu kepada pencarian empat lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam insiden berkenaan yang terdiri daripada dua wanita dewasa berumur 71 dan 41 tahun, serta dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan 12 tahun.
Tujuh lagi penghuni di dalam kedua-dua rumah yang terjejas itu berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian terbabit.-29/1/2025
BERITA SEBELUM INI
Enam dikhuatiri tertimbus tanah runtuh di Miri

Enam mangsa dikhuatiri tertimbus dalam satu insiden tanah runtuh yang berlaku di Kampung Lereng Bukit di bandar raya Miri awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kejadian itu dilaporkan pada 2.58 pagi dan mangsa dikatakan melibatkan dua wanita dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.
“Seorang lelaki dewasa berjaya diselamatkan tanpa kecederaan. Setakat pukul 3.48 pagi usaha mengeluarkan yang tertimbus masih giat dijalankan,” kata jurucakap PGO.
Operasi menyelamat melibatkan 15 anggota dengan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dengan bantuan BBP Lopeng.
“Dua jentera dengan kekuatan 15 anggota telah diatur gerak ke lokasi dan tiba lima minit kemudian.
“Lokasi kejadian adalah Lot 287 A, Lot 287 B, Kampung Lereng Bukit dan pasukan dimaklumkan terdapat tujuh mangsa terlibat.”
Komander Operasi, Muhammad Khuzir Azman berkata, setakat jam 3.48 pagi usaha mengeluarkan mangsa yang tertimbus masih giat dijalankan.
Terdahulu pagi semalam, selepas empat runtuhan yang terjadi susulan hujan lebat berterusan sejak Isnin, lebih 300 penduduk di kampung tersebut telah diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing.
-29/1/2025