Friday - 14, March 2025

Ekoran ribuan catat kerugian besar….agensi kerajaan tidak lagi dibenar tubuh syarikat tanpa kelulusan – PM

Share

Agensi kerajaan tidak lagi dibenar untuk mewujudkan syarikat tanpa kelulusan peringkat tertinggi susulan terdapat ribuan syarikat yang mencatat kerugian besar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beritahu beliau telah beri arahan itu.

“Saya telah memberi arahan supaya tidak boleh diwujudkan syarikat di bawah agensi tanpa kelulusan peringkat tetinggi kerana ribuan syarikat itu mencatat kerugian besar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata urusan membatalkan syarikat-syarikat yang alami kerugian itu bukanlah perkara yang mudah.

“Tetapi jika itu wajib dilakukan, kita harus melakukannya dan ini adalah sebahagian daripada proses reformasi institusi,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Rabu.

Pada ucapan berkenaan Perdana Menteri juga memberitahu usul menyeragamkan beberapa agensi kerajaan akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet pada masa terdekat.

Menurutnya usaha itu bagi menangani isu pertindihan fungsi dalam agensi kerajaan.

Katanya beliau akan membuat keputusan berkait usul itu selepas ia dibawa kepada jemaah menteri.

“Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Seri Asri Hamidon sudah saya tugaskan untuk mengemukakan beberapa usul bagi menyeragamkan beberapa agensi yang akan dibawa kepada Ketua Setiausaha Negara.

“Saya akan membuat keputusan setelah ia dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat,” katanya.

Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan ditubuhkan tahun lalu bagi menangani isu pertindihan fungsi serta penjimatan dana negara.

Asri dilantik mengetuai Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan pada 10 September tahun lalu.

Pada majlis itu, Anwar melancarkan Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) yang dibangun Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) bagi memacu transformasi digital sektor awam ke arah komuniti tanpa tunai.- 12/2/2025

Read more

khabar terbaru