Ini adalah satu lagi langkah baru dari kerajaan yang beri kemudahan dalam menganjur perhimpunan aman.
Tidak lama lagi mereka yang hendak anjur perhimpunan tidak perlu dapatkan kebenaran pemilik tempat perhimpunan diadakan.
Kebelakangan ini syarat perlu mendapat kebenaran pemilik tempat perhimpunan yang biasanya agak sulit merupakan antara isu utama yang menjadi rungutan penganjur perhimpunan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu di Dewan Rakyat pada Khamis , kerajaan bersetuju untuk meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan menghapuskan syarat berkenaan.
Anwar berkata pindaan itu akan memudahkan mana-mana kumpulan yang berniat untuk mengadakan perhimpunan aman.
“Ini bermakna keperluan untuk mendapatkan kelulusan daripada pemilik premis, seperti yang disebut di bawah beberapa seksyen, akan dipinda dan diketepikan.
“Seksyen 11 akta yang memerlukan kelulusan daripada pemilik premis atau penduduk, yang dipertikaikan sekarang, ini akan dikeluarkan daripada peraturan sedia ada,” kata Anwar.
Namun begitu Perdana Menteri, penganjur perlu memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai rancangan mereka dalam tempoh lima hari sebelum perhimpunan diadakan.
Katanya langkah itu ditetapkan supaya pihak berkuasa boleh menjaga keselamatan, kawalan dan lalu lintas di kawasan terbabit.
Anwar berkata pindaan tersebut dijadualkan dibuat pada sesi parlimen yang akan datang.
Selain berita gembira itu beliau juga memberitahu dengan ini, beberapa tindakan sebelum ini termasuk umpamanya siasatan terhadap perhimpunan antirasuah yang melibatkan mahasiswa, akan dihentikan dan tidak akan ada tindakan yang diambil.
“Begitu juga tentang mogok lapar dan bantahan atau tunjuk perasaan (berhubung) Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan [Langkah-Langkah Khas] 2012) beberapa hari lepas juga, tidak akan diambil apa-apa tindakan,” katanya.
“Walaupun pindaan undang-undang dilakukan mungkin dalam sesi akan datang, kita dah beri moratarium (penggantungan), maknanya polis tidak akan mengguna pakai undang-undang itu,” katanya.
Perdana Menteri beritahu demikian pada sesi pertanyaan menteri bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) di Dewan Rakyat.
Poay Tiong meminta kerajaan menyatakan kesediaan meminda akta itu bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman tanpa perlu memohon kebenaran daripada pihak berkaian sebelum berhimpun.-13/2/2025