Wednesday - 12, March 2025

Didenda RM100 kerana maki hamun anggota polis

Share

Seorang lelaki didenda RM100 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Khamis atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap penjawat awam, Isnin lalu.

Tertuduh, Chian Tee Seong, 50, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam dialek Hokkien di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, pekerja pengurusan pengebumian itu didakwa mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap Koperal Ahmad Azraiz Bokhori, 37, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.

Harian Metro melaporkan kesalahan itu didakwa dilakukan di lorong motosikal menghala Jambatan Pulau Pinang di Seberang Perai Tengah, 10 malam, 10 Februari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shakila Dahari, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), V Pushpa.

Sementara itu, Tee Seong mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas dua pertuduhan memberikan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine kepada dirinya.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Kedua-dua pertuduhan berkenaan akan disebut semula pada 14 April ini bagi laporan patologi serta lantikan peguam.-13/2/2025

Read more

khabar terbaru