Wednesday - 12, March 2025

PM umum subsidi RM150 juta kepada pengilang padi…Syed Mokthar sumbang tambahan RM30 juta bela nasib pesawah

Share

Kerajaan MADANI memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi, sekali gus memastikan harga jualan maksima beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram.

Langkah ini adalah bagi memastikan penyelarasan harga lantai belian padi tidak menjejaskan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim buat pengumuman itu menerusi facebook susulan pengumuman Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengenai keputusan kerajaan untuk menyelaras harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan, berkuat kuasa 16 Februari 2025.

“Ini adalah penyelarasan harga lantai belian padi yang kedua dilaksanakan Kerajaan MADANI dalam tempoh dua tahun untuk menambah pendapatan pesawah. Kerajaan pernah mengumumkan penyelarasan pertama pada 2023 setelah hampir 10 tahun harga lantai belian padi kekal pada harga RM1,200.

“Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama saya tatkala diberi amanah mengemudi negara.

Bagi memastikan penyelarasan harga lantai belian padi ini tidak menjejaskan rakyat, Kerajaan MADANI memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi, sekali gus memastikan harga jualan maksima beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram,” kata Anwar.

Serentak dengan itu Perdana Menteri juga beritahu tokoh koprat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin.

“Saya juga ingin menyatakan penghargaan kepada BERNAS yang telah bersama-sama dengan Kerajaan dalam memastikan kebajikan pesawah terbela. Sebelum ini, BERNAS telah menyalurkan RM60 juta kepada pesawah-pesawah miskin.

“Susulan pengumuman hari ini, saya telah menghubungi Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, dan Alhamdulillah beliau bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM30 juta untuk menyokong usaha Kerajaan membela nasib pesawah miskin.

Insya-Allah, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat,”katanya.- 13/2/2025

Read more

khabar terbaru