Dewan Rakyat pada Rabu bergegar dengan isu peningkatan kos perubatan yang semakin meruncing, apabila diberitahu mengenai aduan segelintir pesakit di hospital swasta yang dikenakan caj sehingga RM20 bagi sepasang sarung tangan perubatan.
Perkara itu dikongsi Ahli Parlimen Bayan Baru yang juga anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),Sim Tze Tzin, yang mendedahkan dalam beberapa kes, pesakit di hospital swasta turut dikenakan kos lampin berharga RM50 sekeping.
Beliau yang mewujudkan e-mel khas untuk orang ramai mengemukakan aduan terhadapnya berhubung isu kos perubatan, berkata beberapa hospital swasta didapati mengenakan bayaran terlalu tinggi kepada pesakit, walaupun sarung tangan dan lampin biasanya berharga antara RM40 dan RM50 sekotak.
“Isu ini bukan kes terpencil, ia adalah sebahagian daripada 33,815 kes yang dikaji Bank Negara Malaysia (BNM) (mengenai lonjakan kos perubatan).
“Walaupun kami memahami keperluan hospital swasta untuk menjana pendapatan, kami tidak berkompromi dengan pencatutan yang berlebihan dan mengaut keuntungan melampau,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada 12 Februari petang.
Beliau turut menyentuh mengenai percanggahan lain dalam kos perubatan berdasarkan taklimat Bank Negara, termasuk rawatan denggi yang menelan kos RM5,000 dengan surat jaminan (dengan perlindungan insurans), tetapi hanya RM1,200 melalui sistem bayar dan tuntutan.
“Begitu juga kos rawatan radang paru-paru RM6,800 apabila dicaj melalui tuntutan insurans, berbanding RM2,600 jika pesakit membayar sendiri,” katanya sambil menggesa Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 harus dikaji semula sebagai sebahagian daripada pembaharuan sistem penjagaan kesihatan.
Sim turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan penubuhan suruhanjaya penjagaan kesihatan untuk mengawal selia pasaran, termasuk hospital swasta dan syarikat insurans.
“Saya juga mencadangkan supaya kos rawatan perubatan perlu ditetapkan kawalan harga bagi mengelak kosnya meningkat secara tidak terkawal,” katanya.
Sebelum ini Sim turut bersuara mengenai kos premium insurans kesihatan dan takaful yang melonjak mendadak dan mendesak BNM mengenakan had kenaikan sekitar 10 peratus saja kepada syarikat insurans.-13/2/2025