Wednesday - 12, March 2025

Siapa susuk berhijab yang sering dampingi Erdogan bertemu pemimpin dunia…?

Share

Wajahnya jadi perbualan dalam media sosial… bukan sahaja di Malaysia bahkan di Indonesia. Ini kerana perempuan cantik bertudung ini dilihat dimana-mana mendampingi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam lawatan ke dua negara baru-baru ini.

Dr. Fatima Gulhan Abushanab adalah penasihat kanan dan penterjemah Erdogan dan Malaysia bukan negara asing kepada beliau.

Mana tidaknya, ibu Fatima, Dr. Merve Safa Kavakci adalah Duta Besar Turkiye ke Malaysia dari 2017 hingga 2022 selain pernah menjadi ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan dikenali sebagai hafizah Al-Quran seperti ayahnya, Imam Yusuf Ziya Kavakc.

Dr. Fatima berdarah Palestin dari susur galur ayahnya Ali Ahmad Ghulam Abushanab.

Beliau merupakan pemegang ijazah dalam bidang perhubungan antarabangsa daripada Universiti George Mason.

Pada masa sama, mendalami ijazah lanjutan dalam bidang Perhubungan Muslim-Kristian pengajian liberal di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat (AS) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Universiti Ankara Yildirim Beyazit.

Tidak hanya bertindak selaku penterjemah menemani Presiden Turkiye menemui tokoh politik ternama dunia sejak 2021, beliau juga merupakan salah seorang penasihat senior dalam pentadbiran Erdogan.

Sebagai penterjemah utama kepada Erdogan, Fatima sering dilantik untuk hadir di pelbagai forum dunia dan mesyuarat rahsia dengan pemimpin-pemimpin global.

Beberapa momen penting termasuk pertemuan dengan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan; Kanselor Jerman ke-43, Angela Merkel dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, memperlihatkan peranan beliau dalam menghubungkan dunia luar dengan Turkiye.

Sepanjang pengajiannya di Washington D.C, wanita yang memiliki raut wajah manis itu sempat menimba ilmu sebagai pembantu penyelidik dalam pelbagai pertubuhan termasuklah Pertubuhan Beckettfund untuk kebebasan beragama.

Beliau juga difahamkan pernah terlibat menjadi antara pemikir utama di Pusat Antarabangsa Woodrow Wilson untuk para sarjana.

Sempat menimba pengalaman bekerja di Kongres AS, kemahiran Fatima menguasai beberapa bahasa termasuk Turki, Bahasa Inggeris dan Arab menjadikannya aset berharga dalam diplomasi Turkiye.

Bahkan pada 2023, beliau pernah menulis sebuah buku berjudul A Muslim Realist: Strategies, Methods and Approaches from Turkiye’s Experience yang membincangkan perubahan peranan Turkiye dalam politik global masa kini.-13/2/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Read more

khabar terbaru