Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor boleh menarik nafas lega selepas Mahkamah Shah Alam pada Isnin melepas dan membebaskan (DNA) beliau atas tuduhan hasutan berkaitan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Datuk Aslam Zainuddin.
Beliau membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Masri Daud memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara sudah menerima representasi Sanusi.
Asalnya pihak pendakwaan mencadangkan Sanusi dilepas tanpa bebas.
Bagaimanapun, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Sanusi memohon supaya mahkamah melepas dan membebaskan anak guamnya atas alasan pihak pendakwaan telah menzahirkan niat tidak meneruskan kes.
Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut.
Mengikut pertuduhan, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara- Kampung Bendahara, Gombak pada pukul 11 malam, 11 Julai 2023.
Kedua-dua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 1 Februari 2024, perbicaraan dua kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Pada September lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Sanusi.
Menerusi surat titah yang dimuatnaik Selangor Royal Office, baginda menerima permohonan itu atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.- 24/2/2025