Masalah laman sesawang bersifat lucah bergema lagi di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mempunyai pasukan khusus yang menerima aduan orang ramai di samping melakukan tindakan penguatkuasaan berdasarkan maklumat atau pemantauan sendiri.
“Tindakan pemantauan proaktif oleh MCMC serta kerjasama dengan penyedia perkhidmatan terus dipertingkatkan bagi memastikan iklan bahan lucah di media sosial dapat dikenal pasti, disekat dan diturunkan dengan kadar segera,” katanya.
Beliau beritahu demikian sesi soal jawab lisan Dr Halimah Ali (PN-Kapar).
Menteri itu kata sejumlah 3,670 laman sesawang bersifat lucah disekat dari 2022 sehingga 15 Febuari lepas.
Beliau berkata bagi tempoh sama, 1,993 kandungan media sosial bersifat lucah diturunkan penyedia platform berdasarkan permohonan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Fahmi kata MCMC komited memastikan keselamatan dan etika penggunaan media dalam talian tidak melanggar peruntukan Akta 588 serta undang-undang lain yang berkaitan.
Di bawah Seksyen 33 Akta 588 yang berkuat kuasa mulai 11 Feb 2025, penyebaran kandungan bersifat lucah bagi tujuan komersial jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan denda selanjutnya RM10,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Beliau menegaskan bahawa platform-platform media sosial juga mempunyai satu tanggungjawab untuk mengelak daripada iklan-iklan, bahan-bahan yang tidak dibenarkan daripada ditayangkan.
“Ini antara sebab kenapa kita perlu melesenkan platform-platform media sosial serta mendapatkan kerjasama mereka,” katanya.- 25/2/2025