Perjanjian kerjasama antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Vietnam Oil and Gas Group (Petrovietnam) dijangka dimuktamadkan Mei ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu melibatkan pelaburan puluhan bilion ringgit dan bakal memberi manfaat besar kepada Malaysia.
Perdana Menteri menjelaskan, kehadiran Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik dalam lawatan rasmi ke Vietnam bertujuan mempercepatkan rundingan dengan Petrovietnam.
“Kerjasama PETRONAS dengan Petrovietnam ini membabitkan pelaburan puluhan bilion dan akan memberikan pulangan baik kepada negara. Sebab itu, saya meminta Presiden PETRONAS hadir sama bagi menyelesaikan perbincangan ini. Jika beliau tidak hadir, mungkin ia akan tertangguh,” katanya pada sidang media di akhir lawatan kerja beliau ke Vietnam.
Kerjasama strategik ini merangkumi sektor tenaga di Vietnam, termasuk industri huluan dan hiliran, gas asli serta tenaga boleh baharu.
Selain itu, Malaysia dan Vietnam juga sedang merancang kerjasama dalam penjanaan tenaga dan sambungan grid elektrik antara kedua-dua negara, seiring dengan aspirasi ASEAN Power Grid (APG) yang bertujuan memperkukuh keselamatan tenaga di rantau ASEAN.
Pada 2023, PETRONAS dan Petrovietnam menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) untuk meneroka peluang dalam sektor tenaga mampan, penyahkarbonan, gas asli cecair (LNG) dan petrokimia.
Sebelum itu, Anwar berkata kepentingan dalam memperluas kerjasama dalam bidang digital, kecerdasan buatan (AI) serta aktiviti perikanan antara perkara yang dibincangkan semasa kunjungan hormat beliau ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, To Lam.
Anwar berkata, kedua-dua pihak juga mencapai persetujuan dalam aspek perkongsian maklumat perisikan serta kerjasama ketenteraan, iaitu satu langkah penting dalam memastikan kestabilan dan keselamatan serantau.
“Saya turut menekankan bahawa tidak ramai yang benar-benar memahami dan menghargai perjuangan wira-wira Dien Bien Phu, terutamanya dalam mengatur sejarah kenegaraan dan memungkinkan kejayaan Vietnam hari ini”, katanya.
Selain itu, Vietnam sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam sejarah peribadi Datuk Seri Anwar kerana semasa zaman mahasiswa, kepimpinan Ho Chi Minh menjadi inspirasi dan sumber kepada semangat perjuangan beliau.
“Hubungan sejarah antara Malaysia dan Vietnam cukup erat dan kini menjadi tanggungjawab generasi hari ini untuk terus memperkukuh kerjasama demi manfaat bersama.
“Justeru, hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam akan terus diperkukuh demi kemajuan dan kestabilan di rantau ini”, katanya.-26/2/2025