Di atas kertas… Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) , mereka mempunyai penyokong setia di situ dan sentiasa menang dengan majoriti selesa.
Namun tidak mahu mengambil risiko Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuka peluang kepada semua kumpulan termasuk wanita, pemuda dan puteri untuk diketengahkan sebagai calon yang mewakili gabungan tersebut.
Menurut Zahid apa yang penting adalah calon yang dipilih mewakili BN pada PRK DUN Ayer Kuning adalah mempunyai ciri WALI iaitu boleh menang, boleh diterima dan disukai rakyat.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Perak dan juga jawatankuasa UMNO perhubungan negeri serta kepimpinan bahagian Tapah untuk mengenal pasti calon-calon berkenaan.
“Kita beri peluang kepada semua kumpulan kita akan senarai pendekkan bakal-bakal calon itu,” katanya kepada pemberita di Kuala Rompin pada Rabu.
PRK Ayer Kuning bakal diadakan susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia setelah tidak sedarkan diri selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, PN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air.
Sementara itu, satu nama yang disebut-sebut adalah Naib Ketua Pemuda UMNO Perak Fahmi Ahmad Jakhisi.
Nama Fahmi disebut memandangkan beliau merupakan ketua Pemuda UMNO Tapah dan Ayer Kuning merupakan salah satu DUN dalam Parlimen Tapah.
Anak jati Tapah berusia 42 tahun itu membesar di Kampung Jawa, Ayer Kuning dan kini menetap di Taman Bunga Raya.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada bekas exco yang juga Adun Ayer Kuning, Samsudin Abu Hassan.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh mendedahkan sayap itu sudah mengenal pasti calon berpotensi untuk diketengahkan bagi mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning.
PRK DUN Ayer Kuning akan diadakan bagi mengisi kekosongan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, Sabtu lalu, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15 November 2022, ketua UMNO Tapah berusia 59 tahun itu menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.-26/2/2025