Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua agensi dan jentara kerajaan agar mengamalkan kesederhanaan pada majlis rasmi sepanjang Ramadan supaya dana yang ada dapat dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan.
Teguran beliau itu dibuat ketika berucap Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada Isnin.
Menurutnya semua majlis rasmi kerajaan sepanjang Ramadan ini dilaksanakan dengan penuh kesederhanaan, selaras dengan semangat dan roh bulan tersebut.
“Ramadan ini seharusnya menjadi masa untuk kita lebih insaf dan berusaha menyampaikan bantuan kepada masyarakat kurang bernasib baik, bukan sekadar memewahkan acara iftar dan kegiatan kita,” katanya.
“Saya perhatikan ada kalanya jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan menyediakan sumbangan dalam bentuk terlalu mewah. Sebagai contoh, kotak-kotak pembungkusan sangat indah tetapi harganya mungkin lebih mahal daripada isi seperti kurma diberikan. Ini satu pembaziran,” kata Menteri Kewangan itu.

Anwar turut menyeru agar Ramadan dijadikan sebagai bulan membudayakan pembacaan, pemahaman, dan penghayatan al-Quran, sesuai dengan peranannya sebagai petunjuk kepada manusia.
“Syahrul Ramadan adalah bulan turunnya al-Quran, yang menjadi panduan untuk menentukan pertimbangan antara yang baik dan buruk.
“Maka, marilah kita semua mengambil kesempatan ini untuk mendalami dan mengamalkan ajaran al-Quran,” katanya.
Dalam ucapannya, Anwar berkata kerajaan komited untuk meneruskan agenda reformasi institusi dengan melaksanakan perubahan, bagi menjamin ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan serta pentadbiran awam.
Memberi contoh mengenai beberapa perubahan yang telah dilakukan Kementerian Kewangan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kementerian itu telah memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang menuntut pelaksanaan disiplin fiskal yang ketat.
“Bunyinya mudah tetapi tidak mudah, kerana apa yang kita janjikan berkaitan pengurangan defisit atau belanjawan mesti dilaksanakan.
“Tidak semua negara sanggup melakukannya, kerana ia memerlukan tekad politik yang kuat serta iltizam untuk melakukan reformasi sebenar,” kata beliau.
Selain itu, Perdana Menteri berkata pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan pula yang bertujuan memastikan proses dan prosedur tender serta perolehan kerajaan akan kekal dipatuhi, walaupun berlaku perubahan dalam pentadbiran.
“Kerajaan boleh bertukar-ganti tapi akta itu kekal…proses tender dan perolehan kerajaan itu mesti dipatuhi,” kata beliau.

Dalam aspek penguatkuasaan, Anwar melahirkan rasa syukur atas peningkatan prestasi badan-badan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Audit Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Alhamdulillah, saya lihat badan-badan ini menjalankan tugas dengan lebih mantap. Kerajaan, termasuk Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan barisan tertinggi dalam perkhidmatan awam memberikan dukungan sepenuhnya.
“Jika ada ruang untuk menambah baik, kita akan perbaiki. Saya sering mengingatkan bahawa walaupun kita rasa telah melakukan sesuatu dengan baik, kita mesti sedar masih ada ruang untuk peningkatan,” kata beliau.
Anwar menegaskan semangat untuk terus memperbaiki pentadbiran ini selari dengan ajaran Islam, merujuk kepada hadis Nabi Muhammad SAW mengenai kecekapan dan usaha berterusan untuk mencapai kecemerlangan.
Turut hadir dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.-3/3/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK