Haramkan penjualan produk gula-gula berbentuk seperti rokok dan peranti rokok elektronik atau ‘vape’, gesa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Menurut pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow, berkata penjualan gula-gula itu memberi kesan negatif, terutama kerana ia mendorong murid sekolah untuk terjebak dalam kegiatan menghisap ‘vape’ dan merokok.
Kanak-kanak berusia seawal tiga tahun boleh terdedah kepada produk yang kelihatan seperti gula-gula, tetapi sebenarnya direka untuk normalisasi tindakan menghisap peranti ‘vape’ dan rokok, tambah Subbarow.
“Perkara yang kelihatan tidak berbahaya ini sebenarnya adalah pintu masuk kepada tabiat tidak sihat, dengan sesetengah produk mengandungi cecair dan isian semula yang menjadikannya terlalu mudah untuk kanak-kanak tertarik dengannya.
“Apa yang membimbangkan adalah trend ini akan membiasakan tabiat merokok dan ‘vape’ untuk generasi akan datang, di mana kanak-kanak secara tidak sengaja belajar cara menggunakan peranti yang meniru rokok atau ‘vape’ sebenar,” jelas Subbarow dalam satu kenyataan pada 8 Mac.
Justeru, CAP menggesa pihak berkuasa berkaitan agar mengambil tindakan segera bagi mengharamkan produk berkenaan dan memastikan pihak pengedar dipertanggungjawabkan.
Ketersediaan produk itu secara dalam talian dan pasaran tempatan turut menyukarkan pihak berkuasa untuk menjejak dan mengawal penjualannya, tambah Subbarow.
“Apabila kesedaran semakin meningkat, maka tanggungjawab kini bukan sahaja terletak pada ibu bapa, tetapi semua sektor masyarakat terutama kerajaan untuk melindungi generasi akan datang daripada bahaya yang (cuba) menyelinap masuk dalam produk yang kelihatan tidak salah.
“CAP turut menggesa Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan ‘vape’, rokok dan e-rokok, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengharamkan penjualan gula-gula berbentuk ‘vape’ dan rokok demi kesihatan dan kesejahteraan generasi masa depan.
“Jika tindakan tidak diambil sekarang, generasi muda mungkin terdedah dengan (bahaya) lebih daripada (sekadar) nikotin,” ujar Subbarow.-9/3/2025