Wednesday - 12, March 2025

PM terima kunjungan guru dan alim ulama dari pondok serta madrasah di Kelantan…

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima kunjungan rombongan guru dan alim ulama dari pondok serta madrasah di Kelantan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada pagi Selasa.

Menerusi hantaran di facebooknya Anwar memberitahu jemputan ini beliau sampaikan sendiri setelah mereka menghadiri majlis iftar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya semalam.

Katanya pertemuan ini membuka ruang yang bermakna untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu, khususnya berkaitan perkembangan Islam dan pembangunan ummah.

“Saya tekankan betapa pentingnya kita memperkukuh dasar Islam dalam pendidikan, serta beberapa ikhtiar Kerajaan dalam membina kekuatan dalaman umat Islam.

“Saya amat menghargai pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh para tuan guru, terutama dalam soal pendidikan turath serta cadangan untuk memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia.

“Dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang, serta menghindari kebencian. Saya turut mendengar dengan sepenuh perhatian saranan agar usaha penjelasan mengenai inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh Islam dapat dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh.

“Kami sependapat bahawa dalam banyak perkara, titik persamaan itu lebih besar daripada perbezaan. Dalam ruang yang sama, saya turut menekankan tentang perkembangan komunikasi serta kerjasama yang semakin erat dengan YAB Menteri Besar Kelantan.

“Saya berharap pertemuan sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia menjadi wahana yang sangat bernilai dalam merangka usaha bersama demi kemaslahatan umat dan negara. Buah fikiran dan nasihat para tuan guru amat saya hargai, dan saya percaya ia terpancar dari keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya.”

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Mohd Na’im Mokhtar.

Institusi pondok adalah antara cabang pendidikan Islam yang sudah bertapak sekian lama di negara ini dan banyak memainkan peranan menyebarkan ilmu kepada orang Islam.

Kelantan merupakan antara negeri yang banyak dibangunkan institusi pondok dan mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan masyarakat.- 11/3/2025

Read more

khabar terbaru