Wednesday - 12, March 2025

MCMC terbit soal jawab lazim perjelas kes 3R penyampai radio

Share

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Rabu mengeluarkan soal-jawab lazim (FAQ) bagi memperjelaskan pertimbangan dalam tindakan yang diambil berhubung kes yang menyentuh sensitiviti 3R (agama, raja dan kaum) melibatkan Maestra Broadcast Sdn Bhd, baru-baru ini.

Menurut FAQ itu, selepas insiden tersebut pengurusan tertinggi Maestra Broadcast Sdn Bhd telah dipanggil MCMC untuk memberikan penjelasan dan mereka dinasihatkan untuk memastikan kawalan kandungan ketat.

Selain itu, mereka juga dinasihatkan agar memastikan pematuhan kepada garis panduan kandungan selain memberi latihan berterusan kepada kakitangan untuk mengelakkan pelanggaran undang-undang.

“Setelah mengambil kira bahawa kandungan tersebut melibatkan isu kepentingan awam yang telah mewujudkan ketidaktenteraman antara kaum dan agama, kompaun sebanyak RM250,000 telah ditetapkan terhadap syarikat berkenaan.

“Untuk makluman di bawah pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, hukuman denda maksimum adalah RM500,000 dan penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut FAQ itu.

FAQ itu memaklumkan MCMC telah membuka satu kertas siasatan berdasarkan aduan yang diterima di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap satu kandungan video yang didakwa menghina agama Hindu.

“Hasil siasatan mendapati kandungan video tersebut telah dimuat naik di platform rasmi TikTok ‘era.je’ yang dioperasikan oleh Maestra Broadcast Sdn Bhd. Dalam perihal ini, Jabatan Peguam Negara telah memutuskan agar syarikat tersebut dikenakan kompaun,” katanya.

Berhubung isu notis penggantungan lesen, MCMC memaklumkan setelah mempertimbangkan pelbagai faktor serta penghujahan bertulis yang dikemukakan oleh Maestra Broadcast Sdn Bhd, lesen syarikat tersebut tidak digantung kerana terdapat tindakan pembetulan segera dilakukan seperti permohonan maaf rasmi secara terbuka.

Menjawab persoalan berkaitan perbezaan kompaun dalam kes Maestra Broadcast Sdn Bhd dan Harith Iskander dan Cecelia Yap yang memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook pada 18 Jan 2025, kedua-dua individu itu dikenakan kompaun RM10,000.

MCMC menjelaskan tindakan itu diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Feb 2025, iaitu denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya sekali.12/3/2025

Read more

khabar terbaru